Rahsia diperkosa bapa saudara

Sujud kepada Allah, pohon petunjuk-Nya

SAYA berusia 22 tahun dan masih bujang. Dipendekkan cerita, ketika saya berusia 7 atau 8 tahun, saya pernah diperkosa bapa saudara saya sendiri. Malangnya saya hanya membiarkan saja tanpa mengetahui apa yang dilakukan ke atas saya itu sebenarnya adalah salah. Tambahan pula pada waktu itu ibu bapa saya sangat garang dan saya sering dipukul mereka walaupun kesalahan yang saya lakukan kecil.

Pada usia 12 tahun saya mula sedar apa yang terjadi pada saya adalah suatu perkara yang amat mengerikan. Mulai saat itu saya menjauhkan diri dari manusia bertopengkan binatang itu kerana takut sekiranya menjadi mangsa lagi.
Dugaan datang bersilih ganti. Ketika belajar di tingkatan satu, saya ditempatkan di sekolah asrama perempuan lalu saya terjebak pula dengan budaya hubungan sesama jenis.

Sebaik saja tamat sekolah menengah saya berazam untuk berubah dan meninggalkan dunia penuh dosa itu. Saya belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya diterima masuk ke universiti. Kini saya berada pada tahun akhir pengajian. Saya berjaya meninggalkan perasaan cintakan kaum sejenis dan mula menaruh hati pada lelaki.

Bagaimanapun, apabila saya mengenangkan kisah silam, saya jadi takut untuk berumah tangga. Saya takut berdosa pada suami jika saya tidak menceritakan sejarah hitam saya. Jika saya berterus terang pula pasti bakal suami akan tinggalkan saya.

Saya berharap puan dapat membantu saya mengurangkan tekanan yang saya hadapi kini dan apakah yang perlu saya lakukan kerana saya juga ingin disayangi dan menyayangi.

Hamba Allah

Jawapan:
HAMBA Allah yang sedang berusaha menjadi hamba Allah yang sebenar...Amin!. Masalah yang anda hadapi sepatutnya sudah dilipat kemas dan dimasukkan dalam peti kenangan serta tidak dibuka sampai bila bila-bila. Ia kerana semuanya adalah sejarah hitam kerana jika dikenang akan membuat anda sukar melangkah ke hadapan dengan positif.

Kenangan akan menjadi satu penghalang utama untuk anda membuat perubahan yang lebih positif. Seperkara lagi yang paling penting anda lakukan ialah menyayangi dan menghargai diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.

Menghargai dan menyayangi diri bermakna anda mahu melindungi diri daripada terus dikotori dan terjebak dalam noda serta dosa besar. Jika ini tidak mampu anda lakukan anda tidak akan mampu membuat orang menyayangi dan menghormati anda.

Satu lagi perkara paling penting anda lakukan bersihkan diri dengan bertaubat nasuha, minta ampun dengan Allah dengan sepenuh hati dan berjanji tidak akan membiarkan diri terjebak lagi dalam kancah dosa serta noda.

Bertaubat gunakan bahasa sendiri dan dengan sepenuh hati sujud kepada Allah dan mengabdikan semua kesalahan yang lalu. Pohon petunjuk-Nya dalam melangkah ke hadapan.

Apa yang saya teliti, semua kegelisahan anda berpunca daripada hubungan anda dengan Pencipta renggang hinggakan anda menjadikan nafsu sebagai tuan yang memerintah diri anda. Maka, mulai sekarang bersihkan diri anda dan paksa diri dekat dengan Tuhan kerana hanya Allah pelindung teragung kita.

Langkah seterusnya ialah berkawan dengan orang yang sayang dan takut dengan Tuhan. Ini penting kerana kawan boleh mempengaruhi gaya hidup kita. Doa dengan Allah agar ditemukan teman-teman yang sedemikian. Langkah ketiga latih diri tidak lupa Tuhan dengan cara baca buku yang boleh membangun keyakinan bertuhan. Belajar dari orang yang tahu dan dapat membantu anda menyakini bahawa hidup kita ini ditentukan oleh Tuhan bukan pilihan sendiri secara mutlak. Dengan cara begitu anda dapat mengelakkan dari sikap berputus asa dengan Allah. Allah akan memberi mengikut apa yang kita usahakan.

Begitu juga dengan soal jodoh, itu semuanya di tangan Tuhan, ingat pesan-Nya setiap anak yang lahir ke dunia sudah ditentukan umurnya dan ajalnya, sudah ditentukan rezeki dan jodohnya. Hanya mereka yang tidak yakin dengan kenyataan ini saja yang akan berputus asa dalam soal masa depan dan jodoh.

Ingat pesan Allah QS Yunsuf:87 “Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang kafir.” Allah juga sudah memberi amaran kepada kita melalui Qs Al-Ahzab:11 “Dan kamu menyangka kepada Allah dengan bermacam-macam prasangka. Di situlah diuji orang mukmin dan digoncangkan hatinya dengan goncangan yang sangat kuat. Bagi meneruskan kehidupan maka Allah akan membantu hambanya lalu dipesankan dengan penuh santun bahawa “Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan, Dan demikianlah kami selamatkan orang yang beriman.” QS.Al-Ambiya’:88.

Dengan dua pernyataan ini akan membuat anda sentiasa tenang kerana dengan membaca al-Quran saja kita akan sihat dan dengan solat kita akan berasa tenteram. Nasihat seterusnya binalah azam yang suci, positif dan jelas supaya dapat dicapai dengan izin Allah. Jangan bersyarat seolah-olah mencabar Allah. Sedarlah Allah sedar dan sangat tahu apa yang anda ucapkan. Jangan membuat janji kepada diri perkara yang bercanggah dengan peraturan agama. Soal kekurangan diri yang anda miliki serahkan terus kepada Allah kecuali apa yang anda usahakan seperti kurangkan berat badan dan paling penting jangan prasangka yang diri itu terhina dan tidak sepadan dengan sesiapa pun. Jangan juga diceritakan keaiban kita dengan sesiapa pun kecuali dengan Allah kerana tidak banyak untungnya. Biar Allah yang membuat perhitungan mengenai tentang nasib dan masa depan kita kerana Dia Yang Maha Tahu, siapa jodoh kita sebenarnya.

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP