Bawang Merah Bawang Putih versi lelaki


KISAH lagenda Bawang Merah Bawang Putih (BMBP) sudah cukup sebati dalam jiwa masyarakat. Pelbagai produksi juga sudah banyak mengadapatasikan kisah dua beradik tiri ini di dalam bentuk filem mahupun drama.

Namun, bagaimana pula jika cerita itu diubahsuai ke dalam versi lelaki? Itulah kelainan yang ditampilkan di dalam drama bersiri terbaru terbitan Radius One yang telah mula bersiaran di TV3 pada 7 April lalu, Merah Puteh.

Drama bersiri arahan Isma Yusoff yang menyuntik elemen moden itu dibarisi oleh Ellyas Abdullah sebagai Puteh dan Zahiril Adzim sebagai Merah serta pelakon-pelakon lain seperti Dira Abu Zahar, Tania Zainal, Nadia Aqilah, Wan Sharmila dan Ainul Aishah.

Mengulas tentang kelainan Merah Puteh ini, kata Isma, selain menghasilkannya kepada versi lelaki, garapan cerita drama ini juga diolah dengan gaya tersendiri.

"Kalau dalam cerita BMBP, adik-beradik tiri itu tidak mempunyai hubungan yang baik, tetapi berbeza dengan Merah Puteh. Kedua-dua adik-beradik tiri, Merah dan Puteh cukup akrab.

"Konflik antara mereka hanya akan tercetus apabila mereka menyukai wanita yang sama.

"Dalam drama ini, ada juga watak pengamal ilmu hitam bernama Mulan Marishka yang saya gambarkan jauh berbeza dengan daripada karektor tipikal 'witch' yang sering kita saksikan.

"Kalau yang biasa kita lihat, 'witch' sering memakai baju atau jubah hitam dan penuh dengan mantera, tetapi saya rasakan elemen itu tidak relevan dengan drama ini.

"Saya 'modenkan' watak tersebut dan jadikan Mula seperti wanita 'normal'," kata Isma yang ditemui pada majlis ramah-mesra bersama barisan pelakon siri tersebut di Sri Pentas, baru-baru ini.

Merah Puteh mengisahkan dua beradik tiri yang berlainan ibu, Izwan dan Nazlee. Izwan merupakan seorang remaja lelaki yang suka berlawak, ceria, peramah, aktif dan agresif. Dia digelar Merah kerana sewaktu dilahirkan kulitnya berwarna kemerah-merahan.

Nazlee pula mempunyai karektor yang begitu berbeza. Dia seorang pendiam dan suka menyendiri. Dia pula digelar Puteh kerana kulitnya yang cerah ketika dilahirkan.

Merah dan Puteh sentiasa menyokong antara satu sama lain lebih-lebih lagi Puteh yang sentiasa mendapat layanan buruk daripada ibu tirinya, Datin Mastura yang sebenarnya berdendam dengan ibu Puteh, Rahayu yang merupakan isteri kedua Datuk Jehan.

Walaupun Rahayu telah meninggal dunia, dengki Datin Mastura tidak pernah terhenti tambahan pula apabila Datuk Jehan hendak membahagikan sama rata harta antara dua beradik itu.

Satu demi satu konflik muncul dalam hidup Merah dan Puteh yang mana menjadi semakin teruk apabila muncul seorang gadis bernama Anggun di dalam hidup mereka.

Menurut Isma lagi, walaupun ini adalah kali pertama dia berpeluang mengarah drama sendiri, namun dia yakin drama ini mampu menarik perhatian penonton, sama seperti sambutan yang sering diterima oleh drama-drama terbitan Radius One yang lain seperti Sindarela dan Rona Roni Makaroni.

"Dengan sedikit pengalaman yang saya pernah kutip bersama pengarah Shahrulezad (Ezad), saya harap hasil kerja saya dapat diterima ramai.

"Lagipun, saya cukup 'excited' dengan kisah Merah Puteh ini kerana ia berkisarkan tentang adik-beradik lelaki, yang mana saya sendiri mempunyai 11 adik-beradik lelaki," kata Isma yang juga aktif sebagai pelakon.

Dalam pada itu, Ellyas turut melahirkan rasa teruja kerana dapat membintangi drama yang diadaptasikan daripada kisah BMBP dengan karektor yang cukup beremosi.

"Puteh banyak bermain dengan emosi yang mendalam dan bagi saya, karektor ini menarik untuk seorang lelaki bawakan.

"Saya juga tiada masalah bekerja dengan Zahiril walaupun ini adalah kali pertama bergandingan dengannya. 'Chemistry' antara kami memang sudah wujud sejak hari pertama berada di lokasi penggambaran," kata Ellyas yang melonjak namanya menerusi siri Dunia Baru.

Merah Puteh disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3 dan 8.30 malam di TV9

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP