Showing posts with label Hiburan. Show all posts
Showing posts with label Hiburan. Show all posts

Aril tersingkir petanda ada undian AF masuk?

Penyingkiran Khairil Azam Pilus atau Aril, 24, menimbulkan satu tanda tanya kepada penonton, tenaga pengajar dan pengkritik yang menyaksikan Konsert Akademi Fantasia (AF) musim ke-7 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil di sini, malam tadi.

Aril yang mendendangkan lagu Nakal oleh Gigi hanya mampu bertahan sehingga minggu ke-7 setelah mendapat undian 11 peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diadili 100 peratus oleh penonton.

Melalui penyingkiran Aril, ramai pihak yang tidak berpuas hati lantas menduga mungkinkah akan ada undian AF masuk?

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria Khairul Mizan Shagul mewakili pihak Astro tidak menidakkan mahupun mengiyakan telahan itu sebaliknya meninggalkan persoalan tersebut dalam bentuk tanda tanya.

“Saya tidak dibenarkan membuat pengumuman itu (AF masuk). Apa yang saya boleh katakan, kita sentiasa mendengar suara pelanggan dan peminat AF dan meninggalkan ia dalam bentuk dot dot dot...,” kata Khairul Mizan sejurus berakhirnya konsert tersebut.Dalam pada itu, ditanya adakah Aril berharap AF7 akan membuka peluang kepada penonton membuat AF masuk, dia menjawab, ‘Itu saya tak tahu nak cakap sebab terpulang kepada pihak Astro. Saya nak buat macam mana..'
Prinsipal Tiara agak sedih dengan pemergian Aril dari AF7.


Sementara pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina yang pada mulanya kelu lidah untuk berkata-kata akhirnya menyuarakan reaksinya tentang penyingkiran Aril.

“Memang kami di fakulti tidak jangka Aril akan keluar. Dia merupakan pelajar paling rajin, dedikasi dan antara bakal ikon yang ingin kami lahirkan menerusi AF7 kerana dia ada pakej yang hampir lengkap dan ada ruang dalam industri seni ini.

“Unfortunately, kita tidak tahu apa voters nak...walau apa pun, kami menganggap Aril tetap ikon,” tutur Tiara yang agak sedih dengan pemergian Aril dari AF7.

Selepas Aril meninggalkan AF7, kini tinggal enam pelajar yang akan meneruskan perjuangan mereka iaitu Claudia Fay Geres atau Claudia, 24, yang menyanyikan lagu When You’re Gone oleh Avril Lavigne, Siti Aishah Bujang atau Aishah, 18, (Flora Cinta - Min Malik), Ismaliza Ismail atau Isma, 30, (Tak Mungkin Kerna Sayang - Alyah).
Tiara menganggap Aril sebagai pelajar paling rajin, dedikasi dan antara bakal ikon yang ingin fakulti lahirkan menerusi AF7 kerana dia ada pakej yang hampir lengkap dan ada ruang dalam industri seni ini.


Turut serta adalah Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau Hafiz, 19, (Kau Yang Punya - Malique/ Najwa), Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, (Situasi - Bunkface) dan Mohd. Yazid Ibrahim atau Yazid, 22, (With Or Without You - U2).



Dipetik daripada MyStar

Teruskan pembacaan...

Aksi 'daring' tarikan utama Bohsia?


PENULIS agak skeptikal dengan karya kedua Syamsul Yusof ini pada awalnya kerana merasakan filem berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini akan tampil dengan jalan cerita yang klise.

Namun, setelah menonton prebiu filem tersebut baru-baru ini, ia nampaknya tidak menghampakan. Ada kelainan yang cuba ditampilkan oleh Shamsul di dalam filem yang mendapat klasifikasi 18 PL oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Meskipun ini bukanlah buah tangan terbaik Syamsul, namun penulis rasakan filem yang memaparkan kehidupan mat-mat rempit dan gejala bohsia ini ada kekuatan tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam bermula 23 April ini, apatah lagi menggunakan judul yang agak 'ekstrem'.
Secara keseluruhannya, filem yang dibarisi pelakon-pelakon seperti Nabila Huda, Salina Saibi, Shamsul, Shaheizy Sam, Diana Daniell dan Aaron Aziz ini memaparkan garapan yang tidak mengecewakan.

Jalan ceritanya 'simple', malah untuk mendalami lagi kehidupan mat rempit dan bohsia, pelakon-pelakonnya juga mengambil inisiatif mempelajari gaya pertuturan golongan ini.

Memang sesetengah perkataan kedengaran agak 'kasar' dan adakalanya pelakon-pelakon itu bertutur seolah-olah menjerit sehingga membingitkan telinga, namun kata Shamsul, itu adalah antara 'style' sesetengah mat rempit dan bohsia.
Secara ringkasnya, filem yang menelan belanja sekitar RM1.5 juta ini bermula dengan Amy (Salina) dan Tasya (Nabila) yang merupakan dua remaja liar dan terjebak dengan golongan mat rempit.

Amy merupakan kekasih Acai (Shaheizy) manakala Tasya pula mempunyai teman lelaki bernama Muz (Shamsul). Acai dan Muz sering bermusuhan kerana ingin menunjukkan kehebatan mereka sebagai mat rempit. Kehidupan sosial mereka sukar dikawal.

Muz bagaimanapun telah terpikat dengan Aisyah (Diana), seorang yang sofistikated dan bekerja pengarah projek. Aisyah adalah adik kepada Azam (Aaron) yang merupakan seorang bapa ayam, namun berjaya mengaburi mata adiknya melalui penampilan dan imej bersihnya.
Pelbagai konflik mula timbul di kalangan mereka apabila Tasya yang kecewa dengan sikap Muz membalas dendam dengan merelakan diri ditiduri Acai dan gengnya manakala Amy pula berdepan dengan konflik apabila dipaksa Azam untuk menjadi pelacur di samping perlu berdepan dengan ayahnya Salleh, seorang kaki judi yang juga telah merogol Amy.

Secara peribadi, penulis merasakan adegan 'daring' yang diselitkan di dalam filem ini adalah faktor yang 'kuat' untuk menarik perhatian ramai termasuklah juga mat-mat rempit untuk menyaksikan filem ini.

Aksi Tasya yang berkemban dengan tuala, babaknya ditiduri Acai dan geng, serta aksi ghairah antara Amy dan Acai antara 'sajian' buat penonton-penonton filem ini kelak.

Mungkin sesetengah penonton akan kurang selesa menyaksikan adegan 'panas' seperti ini, tetapi penulis tidak mahu komen panjang tentang aspek ini apatah lagi kerana ia sendiri diluluskan oleh LPF.

Meskipun begitu, pujian ingin diberikan kepada Shaheizy Sam yang menampilkan lakonan cemerlang di dalam filem ini.

Kemunculan pertamanya di layar perak memang cukup mengagumkan walaupun watak jahat yang dibawanya itu dilihat mempunyai sedikit persamaan dengan karektor jahat yang pernah dibawa oleh Zul Huzaimy.

Penulis juga merasakan Syamsul telah berjaya lari daripada watak lelaki 'control macho' yang sering dibawanya di dalam drama-drama lakonannya sebelum ini.

Membawa karektor mat rempit dan bekerja di bengkel motor adakalanya mencuit hati penonton terutamanya ketika adegan dia bergegas pulang dari tempat lepaknya semata-mata ingin ber'chatting' di Internet dan ketika dia menyamar sebagai arkitek sewaktu bertemu buat pertama kalinya dengan Aisyah.

Cuma penulis merasakan watak Diana di dalam filem ini nampak seperti tidak 'kena'. Jika tidak ada watak tersebut pun rasanya tidak akan menjejas jalan cerita filem ini, apatah lagi watak Aisyah yang dibawanya itu dilihat 'biasa' saja.

Atau mungkin juga Syamsul sanggup 'mewujudkan' watak tersebut kerana ingin aktres jelita yang ketika itu masih lagi merupakan teman wanitanya, untuk turut terbabit di dalam filem ini!

Sejauhmana 'kuatnya' sambutan penonton terhadap filem ini, penulis sendiri sukar meramalkan. Namun, penulis tidak hairan jika Syamsul mampu mengulangi kejayaan seperti mana filem sulungnya, Evolusi KL Drift yang meraih kutipan sebanyak RM4.5 juta

Dipetik dari : MyStar

Teruskan pembacaan...

Bawang Merah Bawang Putih versi lelaki


KISAH lagenda Bawang Merah Bawang Putih (BMBP) sudah cukup sebati dalam jiwa masyarakat. Pelbagai produksi juga sudah banyak mengadapatasikan kisah dua beradik tiri ini di dalam bentuk filem mahupun drama.

Namun, bagaimana pula jika cerita itu diubahsuai ke dalam versi lelaki? Itulah kelainan yang ditampilkan di dalam drama bersiri terbaru terbitan Radius One yang telah mula bersiaran di TV3 pada 7 April lalu, Merah Puteh.

Drama bersiri arahan Isma Yusoff yang menyuntik elemen moden itu dibarisi oleh Ellyas Abdullah sebagai Puteh dan Zahiril Adzim sebagai Merah serta pelakon-pelakon lain seperti Dira Abu Zahar, Tania Zainal, Nadia Aqilah, Wan Sharmila dan Ainul Aishah.

Mengulas tentang kelainan Merah Puteh ini, kata Isma, selain menghasilkannya kepada versi lelaki, garapan cerita drama ini juga diolah dengan gaya tersendiri.

"Kalau dalam cerita BMBP, adik-beradik tiri itu tidak mempunyai hubungan yang baik, tetapi berbeza dengan Merah Puteh. Kedua-dua adik-beradik tiri, Merah dan Puteh cukup akrab.

"Konflik antara mereka hanya akan tercetus apabila mereka menyukai wanita yang sama.

"Dalam drama ini, ada juga watak pengamal ilmu hitam bernama Mulan Marishka yang saya gambarkan jauh berbeza dengan daripada karektor tipikal 'witch' yang sering kita saksikan.

"Kalau yang biasa kita lihat, 'witch' sering memakai baju atau jubah hitam dan penuh dengan mantera, tetapi saya rasakan elemen itu tidak relevan dengan drama ini.

"Saya 'modenkan' watak tersebut dan jadikan Mula seperti wanita 'normal'," kata Isma yang ditemui pada majlis ramah-mesra bersama barisan pelakon siri tersebut di Sri Pentas, baru-baru ini.

Merah Puteh mengisahkan dua beradik tiri yang berlainan ibu, Izwan dan Nazlee. Izwan merupakan seorang remaja lelaki yang suka berlawak, ceria, peramah, aktif dan agresif. Dia digelar Merah kerana sewaktu dilahirkan kulitnya berwarna kemerah-merahan.

Nazlee pula mempunyai karektor yang begitu berbeza. Dia seorang pendiam dan suka menyendiri. Dia pula digelar Puteh kerana kulitnya yang cerah ketika dilahirkan.

Merah dan Puteh sentiasa menyokong antara satu sama lain lebih-lebih lagi Puteh yang sentiasa mendapat layanan buruk daripada ibu tirinya, Datin Mastura yang sebenarnya berdendam dengan ibu Puteh, Rahayu yang merupakan isteri kedua Datuk Jehan.

Walaupun Rahayu telah meninggal dunia, dengki Datin Mastura tidak pernah terhenti tambahan pula apabila Datuk Jehan hendak membahagikan sama rata harta antara dua beradik itu.

Satu demi satu konflik muncul dalam hidup Merah dan Puteh yang mana menjadi semakin teruk apabila muncul seorang gadis bernama Anggun di dalam hidup mereka.

Menurut Isma lagi, walaupun ini adalah kali pertama dia berpeluang mengarah drama sendiri, namun dia yakin drama ini mampu menarik perhatian penonton, sama seperti sambutan yang sering diterima oleh drama-drama terbitan Radius One yang lain seperti Sindarela dan Rona Roni Makaroni.

"Dengan sedikit pengalaman yang saya pernah kutip bersama pengarah Shahrulezad (Ezad), saya harap hasil kerja saya dapat diterima ramai.

"Lagipun, saya cukup 'excited' dengan kisah Merah Puteh ini kerana ia berkisarkan tentang adik-beradik lelaki, yang mana saya sendiri mempunyai 11 adik-beradik lelaki," kata Isma yang juga aktif sebagai pelakon.

Dalam pada itu, Ellyas turut melahirkan rasa teruja kerana dapat membintangi drama yang diadaptasikan daripada kisah BMBP dengan karektor yang cukup beremosi.

"Puteh banyak bermain dengan emosi yang mendalam dan bagi saya, karektor ini menarik untuk seorang lelaki bawakan.

"Saya juga tiada masalah bekerja dengan Zahiril walaupun ini adalah kali pertama bergandingan dengannya. 'Chemistry' antara kami memang sudah wujud sejak hari pertama berada di lokasi penggambaran," kata Ellyas yang melonjak namanya menerusi siri Dunia Baru.

Merah Puteh disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3 dan 8.30 malam di TV9

Teruskan pembacaan...

Nash komersialkan karier perancang perkahwinan


BUKAN mudah untuk mencari pengalaman sebagai perunding perkahwinan. Begitulah yang difikirkan oleh bekas vokalis Lefthanded, Nash, 50, yang sudah berkecimpung dalam bidang tersebut sejak lima tahun lalu.

“Saya sudah lama menjadi ‘wedding planner’ tapi tidak komersialkan karier itu.

“Sekarang baru saya bersedia untuk betul-betul komersialkan bidang ini setelah menimba banyak pengalaman dan betul-betul yakin untuk meluaskan perniagaan ini di bawah syarikat saya, Fanasha Resources Sdn. Bhd.,” ujar Nash yang memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikatnya itu.

Bercerita tentang pengalaman yang dikutipnya sepanjang bergelar seorang perunding perkahwinan, Nash berkata dia pernah terlibat dalam perkahwinan anak-anak Datuk dan Tan Sri.

“Saya pernah menguruskan perkahwinan anak sulung Tan Sri Mohamad Mohd. Taib dan anak Datuk Abu Bakar Amin.

“Apabila saya menceburi bidang ini, saya mendapat kepuasan apabila dapat memberi khidmat yang diperlukan dan menunaikan permintaan dengan penuh dedikasi,” kata Nash.

Syarikatnya yang beroperasi dalam tahun ini turut mengelolakan majlis ulang tahun, hari jadi dan hari keluarga.

“Kami menyediakan pelbagai jenis peralatan perkahwinan seperti ‘food catering’, khemah, kerusi dan meja, pelamin, dandanan dan busana pengantin dengan pakej menarik.

“Matlamat saya hanya satu iaitu untuk bergelar seorang usahawan yang berjaya dalam bidang ini.

“Bidang ini bukan sahaja menawarkan makanan untuk kenduri kahwin tetapi untuk pelbagai majlis seperti ulang tahun, hari jadi dan hari keluarga,” beritahu Nash yang masih lagi menyanyi walaupun sibuk dengan urusan bisnesnya.

Baru-baru ini, Nash dengan kerjasama Israin Catrus menganjurkan Ekspo Perkahwinan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Nash, projek tersebut merupakan projek pertamanya setelah merancang kira-kira tiga hingga empat bulan lalu dengan rakan kongsinya, Ismail Kaprawi.

Dengan bajet sendiri yang dianggarkan lebih RM100,000, Nash menganjurkan ekspo tersebut dengan bantuan saudara-mara dan kenalannya.

Ekspo tersebut bukan sahaja melibatkan pameran tentang perkahwinan malah turut menunjukkan persembahan kuda kepang, muzik piano, gamelan dan banyak lagi.

Teruskan pembacaan...

Kecoh Diana Danielle pitam!


Diana pitam kerana keletihan

KECOH seketika majlis 'post-party' yang berlangsung sejurus berakhirnya Anugerah Bintang Popular 2008 (ABP) di Genting Highlands malam tadi, apabila pelakon muda, Diana Danielle dikatakan pitam ketika ingin mengambil makanan.

Walaupun 'aksi' itu hanya untuk beberapa minit, ramai yang berada di majlis itu tertanya-tanya punca sebenar gadis itu pitam secara tiba-tiba.

Ada juga yang berpendapat, Diana mungkin tertekan gara-gara kepenatan mengikuti Program Latihan Khidmat Negara yang mana dia perlu kembali meneruskan latihannya di Kem Princess Haliza, Sepang, hari ini.

Mengulas tentang hal tersebut, kata ibunya, Norsiah Ramli, Diana pitam bukan disebabkan oleh tekanan di PLKN, tetapi kerana faktor keletihan dan tidak sempat makan sebelum bermulanya acara ABP.

"Dia letih sangat-sangat. Lagipun jadualnya sepanjang di Genting begitu padat. Beberapa jam sebelum bermulanya ABP dia meluangkan masa ditemubual oleh media dan menghadiri acara sampingan lain.

"Waktu tu, dia memang tidak sempat menjamah makanan. Hanya sempat sarapan saja. Pada pukul lima petang, dia terus bersiap pula untuk malam kemuncak ABP.

"Saya tanya sama ada dia lapar atau tidak, tetapi dia cakap dia ingin makan sewaktu di acara tersebut kerana ada makanan disediakan terlebih dahulu.

"Tetapi dia tak sempat makan juga kerana sibuk dengan hal lain. Mungkin kerana terlalu letih, Diana pitam sewaktu di 'post-party'," kata Norsiah.

Menurutnya, kesihatan Diana bagaimanapun tidak terjejas kerana dia mempunyai masa untuk berehat sebelum pulang ke kem latihannya petang nanti.

"Dia sepatutnya pulang pagi ini. Tetapi saya telah menghubungi komandan kem dan dia dibenarkan pulang lewat sikit hari ini," kata Norsiah.

Credit articles: MyStar

Teruskan pembacaan...


TERPISAH daripada isteri tersayang selama lima minggu ekoran menuntut ilmu seni di Akademi Fantasia ke-7 (AF7) menyebabkan emosi Sidi bergejolak. Akhirnya, dia gagal memberikan persembahan terbaik.

Penyanyi berasal dari Ipoh itu sebenarnya kepingin dakapan dan belaian kasih sayang isterinya ketika berjuang bersendirian bersama para peserta lain.

"Mungkin Sidi tidak pernah berpisah dengan isteri tersayang. (Perhubungan kami) masih baru lagi. Sidi sangat rindukannya dan mengharapkan sokongan daripada beliau. Tapi, malangnya, Sidi tak dibenarkan untuk membuat phone call dengannya.

"Walaupun cuma di konsert, hanya tengok-tengok... itu pun dah beri semangat kepada Sidi," katanya pada sidang akhbar selepas konsert itu habis.

Maklumlah AF adalah program realiti hiburan yang menyediakan pelbagai kelas vokal, lakonan dan tarian kepada para pesertanya. Namun, mereka perlu `dikuarantinkan' sepanjang program itu.

Ini bermakna mereka terpisah daripada suami-isteri, anak-anak dan saudara terdekat.

Bagaimanapun, Sidi mengakui dia telah diberi peluang berbual dengan isteri, Jumaat lalu. Menurutnya, ini telah memberikan sokongan kepadanya namun dia masih `berperang' dengan diri sendiri.

Hakikatnya, bibit-bibit rindu tersebut turut dikesan pada persembahan Isma dan Claudia. Isma misalnya seolah-olah menyanyi sambil melampiaskan rindu ketika berduet dengan suaminya, menerusi lagu Kau Mawarku -nyanyian asal Siti Nurhaliza dan 2 By 2.

Ekoran itu, pengkritik undangan, Adibah Noor melabelkan persembahan mereka terlalu romantis dan justeru, perlu mengurangkan 'aksi-aksi ganas' yang dipaparkan seperti kucupan dan pelukan mesra.

Claudia di akhir persembahan pula `menjerit' "My son" apabila pengacara, AC Mizal mendukung anak lelaki kepadanya. Dipeluk erat-erat sambil dicium mesra.

Berbeza dengan Sidi, kedua-dua penyanyi wanita tersebut mendapat komen sederhana dan baik masing-masing daripada pengkritik.

Rata-ratanya, para peserta lain serasi berduet dengan pasangan mereka yang juga merupakan bintang Akademi Fantasia terdahulu.

Antara pasangan tersebut: YAZID & Yazer - Terharu (Jamal Abdillah & Mawi); ARIL & Marsha - Aku Dan Dirimu (Ari Lasso & Bunga Citra Lestari) dan HAFIZ & Mila - Terlanjur Cinta (Rossa & Pasha Ungu).

Lain-lain pasangan yang memberikan persembahan baik ialah AKIM & Farah - Jika Kau Tiada (Erra Fazira & Yusry); CLAUDIA & Vince - Kau Muzik Di Hatiku (Jacyln Victor & Vince) dan AISHAH & Aliff Aziz - Dua Hati Menjadi Satu (Gita Gutawa & Dafi).

Sesetengah peserta berjaya menandingi - jika bukan menyamai - kehebatan bintang AF terdahulu. Malangnya, persembahan QHAUD kurang kemas berduet dengan Heliza menerusi lagu Dibius Cinta (Yusry & Melly Goeslow).

Sidi pula, menurut pengkritik, langsung gagal dan tidak sehebat Zahid di atas pentas sehingga membawa kepada penyingkirannya pada malam itu.
Credit articels: MyStar

Teruskan pembacaan...

Mawi nafi karier semakin merundum!


IMEJ botak lebih sinonim dengan Mawi, jadi nampak janggal apabila kepalanya sudah tumbuh banyak rambut.

Ditegur tentang imej barunya itu, suami kepada Nora’Ashikin Rahmat atau Ekin ini menafikan yang rambut barunya dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk isterinya.

"Tiada sesiapa yang meminta saya membuat imej baru ini dan saya anggap ia sebagai stail rambut baru saya.

"Tetapi apabila rambut makin panjang ni, rasa semacam pula dan mahu sahaja saya potong botak," beritahu Mawi.

Masih ada ‘job’

Ditanya tentang perkembangan kariernya, kini Mawi sedang menanti pelancaran Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB) pada hujung bulan ini selepas dia sudah tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman dan pengurusan artis, Maestro Talent & Management.

"Selepas Maestro ditutup pada 1 April lalu, kini karier saya diuruskan oleh AESB," kata Mawi.

Pelantun lagu Allah Habeebi ini bagaimanapun menafikan yang kariernya semakin ‘merundum’ selepas penutupan Maestro.

"Aktiviti seni saya bukan berkurang tetapi ada beberapa program yang tergendala disebabkan Maestro berhenti secara mengejut.

"Antara program tersebut adalah pelancaran album saya yang sepatutnya diadakan pada 1 April lalu, aktiviti promo album dan pengambaran sebuah klip video terbaru yang dijadualkan pada 3 April lalu," beritahu Mawi.

Akur tidak dipanggil dalam Minggu Setiausaha

Dia juga mengulas tentang sebab belum ada syarikat yang ingin mengambilnya menjayakan Minggu Setiausaha pada tahun ini.

"Banyak syarikat yang kurang menganjurkan majlis Minggu Setiausaha pada tahun ini kerana masalah ekonomi yang dialami sekarang," ujarnya yang telah menjayakan beberapa persembahan sebelum ini.

Antaranya adalah Pesta Air di Tanjung Talam, Desaru, dan teater Muzikal Islam Sirah Junjungan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Mawi turut diundang menjadi penyampai trofi bersama Ekin dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 pada Ahad lalu di Arena of Stars, Genting Highlands.

Agak terasa dengan kemerosotan ekonomi

Dalam kemeriahan menjayakan beberapa aktiviti seni, Mawi akui agak terasa dengan kemerosotan ekonomi sekarang.

"Walaupun kewangan saya masih stabil, tetapi saya perlu juga merancang perbelanjaan apabila keluar membeli-belah.

"Misalnya, saya dan Ekin akan menulis dahulu apa yang patut dibeli.

"Saya bajet dalam RM300 sebulan untuk membeli barang dapur kerana kami hanya tinggal berdua," beritahu Mawi yang gemarkan lauk Ikan Masak Kicap masakan Ekin.

Selain memasak, Mawi berkata semua kerja rumah dilakukan oleh Ekin dan sekali-sekala dia akan turut membantu isterinya itu.

Ajak orang ramai ke Konsert Malam Seribu Karya

Untuk masa akan datang, Mawi akan terikat dengan Konsert Malam Seribu Karya Rock Rohani anjuran Karya Hadani Sdn. Bhd. di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 April ini, pukul 9 malam.

Menyentuh tentang konsert tersebut, Mawi yang akan berkongsi pentas dengan penaung Karya Hadani, Ustaz Harun Mat Saad, Razak Ahmad, Rahmad Mega, Yantzen, Sham Barongan, dan Ezam Akar.

Turut serta adalah empat lagi artis jemputan iaitu Jamal Abdillah, Ramli Sarip, Nazrey Johani dan Amy Search.

Mawi berkata kebetulan yang ingin dinyanyikan olehnya iaitu Kian dan Allah Habeebi merupakan lagu pilihan Ustaz Harun semasa konsert itu nanti.

"Saya rasa lagu yang dipilih itu bersesuaian dengan konsep ketuhanan dan kerohanian tetapi lagu saya lebih kepada genre pop dan bukannya rock.

"Apabila melihat harga tiket iaitu RM60 hingga RM200, saya ingin sekali mengajak supaya orang ramai datang dan jangan terlalu fikirkan tentang mahal sebaliknya cuba untuk memahami mesej yang ingin disampaikan.

"Lagipun ada kalangan artis yang berpengalaman dalam konsert ini," tuturnya.

Credit articles : MyStar

Teruskan pembacaan...

Anuar Zain kahwin senyap-senyap?


Sebelum ini ada orang sebarkan cerita kononnya penyanyi Anuar Zain buat perancangan nak kahwin. Tiba-tiba minggu lalu tersebar gambar Anuar dengan seorang wanita di atas pelamin memakai pakaian sedondon berwarna putih gading. Maka timbullah cerita yang Anuar kononnya dah kahwin senyap-senyap.

Untuk mendapatkan kepastian, petang Rabu lalu Niezam bertanya sendiri kepada Rohila, pengurus kepada Anuar. Rohila pun mengaku dia tak pernah dengar cerita yang Anuar sudah kahwin seperti yang heboh diperkatakan orang.

Selepas gambar “perkahwinan” itu diberikan kepada Rohila, dia betul-betul terkejut.

Selepas meneliti gambar tersebut, Rohila mengesahkan gambar itu diambil ketika Anuar menghadiri majlis perkahwinan anak kepada seorang pengarah syarikat yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Anuar diundang untuk membuat persembahan pada majlis itu kerana si pengantin memang meminati Anuar. Apabila berita tak betul itu tersebar, kata Rohila dia bimbang perkara itu mungkin akan mencemarkan imej keluarga pengantin.

“Saya berharap semua pihak tolong hentikan daripada menyebarkan e-mel yang tidak bermanfaat seperti ini kerana ia bukan sahaja memburukkan Anuar tetapi isteri orang,” kata Rohila dalam e-melnya.

Itulah akibatnya apabila kemudahan teknologi yang ada sekarang ini dilakukan oleh mereka yang tak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu. Yang pasti kalau betul Anuar nak kahwin atau sudah sampai jodohnya, dia tak akan sorok-sorok punya.

Disebabkan Anuar memang ramai peminat, tidak hairanlah dia selalu dijemput membuat persembahan pada majlis-majlis makan malam dan juga resepsi perkahwinan.

Selepas ini kalau tersebar lagi gambar-gambar Anuar dengan mana-mana pengantin, janganlah percaya yang dia nak sorok perkahwinan.

Teruskan pembacaan...

Arni Nazira tamatkan status ibu tunggal


KUALA TERENGGANU: Selepas kira-kira tiga tahun bergelar ibu tunggal, bekas pelakon dan penyanyi, Arni Nazira Anwar, 31, akhirnya menamatkan status itu apabila selamat dinikahkan dengan bekas kekasih lamanya yang juga seorang ahli perniagaan, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar, 32, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan jurunikah Mukim Bukit Besar, Ahmad Awang di Masjid Negeri dengan mas kahwin RM100 dan hantaran sebanyak RM7,777.77 dengan disaksikan kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga terdekat pengantin.

Turut serta dua anak Arni daripada perkahwinan dengan vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, Puteri Aleeya Antasha, 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 7.
Pihak lelaki menghantar sembilan dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan.

Dengan sekali lafaz, Wan Mohd Hazrie kini menjadi suami Arni yang sebelum ini pernah popular dengan lagi `Antara Dua Benua', kira-kira jam 3.40 petang.
Arni yang berpakaian kebaya putih menitiskan air mata kegembiraan sebaik selesai majlis akad nikah, manakala Wan Mohd Hazrie menunaikan solat kesyukuran selepas bersalaman dengan ibu dan bapa serta kaum keluarga.

Dengan perkahwinan itu, Arni terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dunia hiburan apabila Wan Mohd Hazrie tidak lagi membenarkan isterinya terbabit dengan lakonan dan nyanyian, melainkan memenuhi undangan pertunjukan fesyen yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Teruskan pembacaan...

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP