Waktu mandi berkemungkinan bertukar menjadi saat-saat yang mencabar bagi yang bergelar ibu dan permata hatinya. Inilah masanya apabila si manja bertuk

Beginilah keadaannya yang sering berlaku di bilik mandi mereka yang mempunyai anak kecil. Kanak-kanak sememangnya tidak suka rambut mereka dibersihkan, manakala ibu pula ingin memastikan rambut anak mereka bersih, agar rambut mayang mengurai. Jika tidak dijaga dengan baik, rambut si manja mungkin menjadi kotor, kering dan kusut.

Walaupun rambut si manja perlu dibersihkan, tidak perlulah menjadi sesuatu yang merungsingkan.

Bagi menjadikan rutin ini sesuatu yang menyeronokkan, kita haruslah memahami terlebih dulu punca si kecil takut bersyampu. Kajian mendapati penggunaan sesetengah produk mandian atau syampu memedihkan mata mereka. Waktu mandi tanpa tangisan memerlukan syampu bayi yang dirumus khas agar lembut dan tidak memedihkan mata.

Walaupun menggunakan syampu tidak pedih mata, adalah penting supaya syampu tidak masuk ke dalam mata kerana bahan asing, malah air juga, boleh memedihkan organ penglihatan si manja.

Jadikan rutin mandian si kecil aktiviti menyeronokkan



Si manja anda mungkin tidak suka air jatuh ke muka ketika anda membersihkan rambutnya kerana air boleh merengsakan mata. Anda boleh sapukan jeli petroleum pada dahi si manja untuk menghalang air mengalir terus ke mata.

Sebagai alternatif, pilihlah syampu yang mudah dibilas. Si manja anda boleh mendongak ke belakang semasa anda membilas rambutnya.

Jika kena caranya, waktu mandi boleh memberikan keseronokan kepada si manja yang sentiasa girang. Syampu tidak semestinya melemahkan keceriaan dan kegembiraan bermain, tetapi boleh menjadikannya bersemangat. Si manja yang mana tidak suka akan buih-buih?

Caranya sememangnya senang! Anda cuma perlu kreatif untuk menjadikan waktu membersihkan rambut bersamaan dengan keseronokan. Rahsianya adalah mengalih perhatian si manja. Anda boleh menyanyi bersama mereka atau membiarkan mereka bermain dengan botol syampu kosong, ini membantu mengalih perhatian mereka daripada proses membersih rambut itu.

Antara caranya ialah meletak cermin di depan mereka dan membuat pelbagai gaya rambut yang lucu dengan rambut si manja yang penuh dengan buih-buih syampu. Buatlah rambut seperti bintang ‘rock’, gaya rambut lurus atau bertanduk seperti unikorn, malah apa-apa saja gaya! Biarkan si manja meneka gaya rambut mereka. Mereka pasti teruja melihat wajah mereka pada cermin dan tidak mengendahkan anda yang sedang membasuh rambut mereka.

Menjaga mata si manja

PERUNDING Oftalmologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Tan Niap Ming, berkata refleksi kelip bayi tidak sofistikated seperti kanak-kanak yang sudah besar dan orang dewasa.

“Bayi boleh membuka mata tanpa berkelip selama 23 saat atau sehingga satu minit. Selain itu, bayi juga boleh menangis tanpa mengeluarkan air mata kerana duktus air mata dan refleks air mata mereka masih belum berkembang dengan sepenuhnya.

“Oleh itu, bayi tidak berupaya berkelip untuk melindungi mata mereka daripada benda yang merengsa atau untuk mengeluarkan benda merengsa itu dengan air mata. Apabila anda membilas syampu daripada rambut bayi, sesetengah bahan akan termasuk ke dalam mata bayi anda dan mata mereka mungkin masih terbuka pada waktu itu,” katanya.

dalam hubungan ini, beliau mencadangkan supaya ibu bapa perlu memastikan syampu yang digunakan untuk membersihkan si manja tidak mengandungi bahan kasar.

Hormati keperluan si manja

NOOR Hassiemah Mohd Halim, ibu kepada Aisy Nur Emely Affandy, 8 bulan; dan Aisy Darwisy Affandy, 3 tahun, berkata Darwisy selalunya membuatkan beliau pening kepala setiap kali cuba membersihkan rambutnya.

“Dia akan mula menggeliat dan membuat bising setiap kali saya mengeluarkan botol syampu. Kadang-kadang dia menangis dan menolak tangan saya. Suasana di bilik air kecoh dan saya habis basah dan keletihan, manakala Darwisy pula akan merajuk.

“Saya tidak suka melihat anak saya gelisah setiap kali mandi. Akhirnya saya mendapatkan nasihat daripada seorang ibu yang mempunyai masalah seperti saya. Katanya, saya boleh cuba bertanya kepada Darwisy mengapa dia tidak suka rambutnya dibersihkan. Saya agak terkejut kerana tidak terfikir untuk bertanya sebelum ini kerana saya menganggap Darwisy hanya menunjukkan kedegilannya saja,” katanya.

Jawapan Darwisy menyedarkan beliau bahawa bukan rutin bersyampu yang dibenci, sebaliknya anaknya itu enggan rambutnya disyampu kerana Noor Hassiemah akan membilas rambutnya dengan air.

“Dia tidak suka air membasahkan kepalanya dengan tiba-tiba! Kini saya letak cermin di depan Darwisy setiap kali membersihkan rambutnya. Dia kelihatan lebih yakin apabila melihat saya membasuh rambutnya kerana sedar akan apa-apa yang berlaku. Saya cuba membabitkannya dengan mengajar cara mengurut kepala, atau sama-sama menyanyikan lagu kegemaran kami berdua. Darwisy memang suka kalau dapat menyanyi!

“Akhir sekali, sebelum saya membilas rambut, saya akan minta Darwisy membilang satu hingga tiga bersama-sama. Dengan cara ini dia akan lebih bersedia apabila saya menjirus air ke kepalanya,” katanya.

Kini, mereka berdua bukan saja seronok ketika rutin memandikan Darwisy, malah Noor Hassiemah dapati dengan menghormati keperluan anak dan membabitkannya dalam aktiviti membersihkan rambut mengukuhkan lagi kepercayaan Darwisy terhadapnya. Darwisy sekarang tahu yang ibunya sentiasa mendengar masalahnya dan akan cuba menyelesaikannya bersama-sama.

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP