Gadis sedih teman lelaki tak pandai memujuk

SAYA berumur 22 tahun dan menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang sebaya dan dia sudah bekerja. Kami bercinta sejak saya berumur 13 tahun lagi dan sehingga kini kami masih lagi bersama. Kami merancang berkahwin selepas saya tamat belajar.

Saya sangat menyayanginya tetapi kami sentiasa gaduh dan boleh dikatakan seminggu sekali. Pergaduhan kami tidak akan selesai selagi kami tidak tidak mengeluarkan air mata dan itu sajalah jalan penyelesaiannya.


Punca kami selalu gaduh adalah sebab terasa hati. Lepas itu kedua-duanya merajuk. Tapi bila saya merajuk dia tidak pernah memujuk saya. Sebaliknya dia akan merajuk dengan saya dan keadaan ini menambahkan lagi rasa sakit hari saya dengannya. Kerana ego, kami bergaduh dan masing-masing tidak mahu mengalah.

Setiap kali bergaduh, saya terpaksa memujuk diri sendiri dan juga dirinya serta membuang rasa sakit hati saya terhadapnya. Jika nak harapkan dia untuk memujuk saya, entah bila dia akan buat begitu.

Dengan keadaan ini, satu saja yang saya inginkan dan perlukan darinya iaitu memahami saya. Saya mahu dia tahu bahawa apabila saya marah, dia sepatutnya melembutkan hati saya dan mengelakkan pergaduhan yang disebabkan perkara yang remeh. Itu saja yang saya perlukan darinya.

Dia pernah memberitahu yang dia tidak pandai memujuk tetapi dia boleh belajar untuk melakukannya. Sekeras-keras hati seorang perempuan apabila dipujuk akhirnya lembut juga. Jika hati sudah sayang bermacam-macam yang kita akan lakukan dan kita sanggup berkorban apa saja asalkan perhubungan ini kekal abadi buat selama-lamanya. Saya benar-benar mengharapkan dia memahami situasi saya dan berusaha untuk berubah.



Jawapan:

AMBOI, nampaknya percintaan adik dengan kekasih hati yang sudah lama berputik ini sememangnya banyak dugaannya. Cara dan personaliti orang berbeza. Setiap individu adalah unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Keunikan dan keistimewaan inilah yang banyak mewarnai sesuatu perhubungan bercinta itu.

Kekasih adik menyayangi adik dengan caranya sendiri. Sifatnya yang tidak pandai memujuk adik banyak bergantung kepada personaliti dirinya yang banyak dipengaruhi oleh lingkungan budaya, corak didikan dan sifat diri. Memaksa seseorang untuk berubah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Tidak semestinya seorang yang tidak pandai memujuk menunjukkan dia bukan seorang kekasih yang baik. Begitulah sebaliknya. Kata-kata yang manis tidak semestinya menunjukkan tingkah laku yang baik.

Keinginan adik agar setiap kali merajuk, kekasih akan memujuk. Bagaimana pula dengan persepsi kekasih adik tentang satu perhubungan yang baik? Adakah ia sama dengan persepsi dan keinginan adik? Adakah kekasih adik akan melakukan sesuatu dengan terpaksa hanya kerana ingin memuaskan keperluan adik?

Dalam perhubungan adik berdua, sememangnya baik jika masing-masing dapat memenuhi keperluan pasangan seikhlasnya. Tetapi jika ini tidak berlaku, memahami keinginan dan kelemahan pasangan adalah satu jalan untuk meneruskan perhubungan. Seterusnya, menerima seadanya diri dan pasangan adalah jalan terbaik dalam memastikan hubungan terjaga rapi.

Duduklah berbincang mengenai apa yang disukai dan tidak oleh diri dan pasangan. Cari cara mengatasi masalah yang wujud. Jika diri tidak dapat berubah disebabkan oleh faktor personaliti dan sikap atas perkara-perkara yang membabitkan emosi, terimalah perkara ini seadanya.

Kesetiaan kekasih untuk bersama-sama adik sejak umurnya 13 tahun lagi sudah jelas membuktikan dia menghargai perhubungan ini. Jika dia boleh berubah dari seorang yang tidak pandai memujuk kepada pemujuk yang baik, ia satu tanda positif. Jika tidak, terimalah diri seadanya.

Adik pula, janganlah memujuk kerana terpaksa dan kemudian merasa sakit hati kerana terpaksa melakukannya. Lakukannya secara ikhlas. Jika terpaksa lakukannya juga, anggaplah ia sebagai satu rutin yang bukan disebabkan oleh kekasih tidak memujuk kerana tidak sanggup berkorban dalam mengekalkan perhubungan. Tetapi itulah dirinya yang sebenar. Terimalah dia sebagaimana diri seadanya.

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP