Showing posts with label Masalah Remaja. Show all posts
Showing posts with label Masalah Remaja. Show all posts

Kekasih hati suami orang

SAYA gadis berusia 27 tahun. Pada 2006 saya berkenalan dengan lelaki bernama MK yang juga anak kawan emak saya.

Pandang pertama sudah buat saya jatuh hati dengannya, tapi saya pendamkan perasaan saya. Perkenalan itu terhenti setakat itu saja, tapi saya simpan nombor telefon bimbit MK.


Pada 2007 saya teringatkan MK lalu menghantar SMS kepadanya. Dia terus telefon saya dan bermula dari situ saya dan MK selalu hantar SMS, kadangkala sampai tengah malam. Bagaimanapun, pada hujung 2007 baru saya tahu MK sudah bertunang.

Saya sangat kecewa dan marah. Tiga bulan saya tak berhubung dengan MK, tapi emak selalu tanya saya ada telefon atau SMS MK tak? Saya jawab tak ada masa, kalau selisih dengan MK pun saya tak akan pedulikannya.

Bagaimanapun, apabila emak selalu bertanya hal saya dengan MK, hati saya jadi lembut. Saya SMS MK dan minta maaf. MK seronok bila saya telefon dia. Walaupun tinggal sekampung, kami jarang dapat berjumpa.

Ogos tahun lalu, saya bertukar ke tempat lain dan MK datang berjumpa saya. Bila berjumpa, terasa kami sangat selasa dan serasi. Kami selalu menghantar e-mel dan SMS.

Satu petang ketika Ramadan tahun lalu, kami ke pasar Ramadan untuk membeli juadah. Seronok rasanya bila dapat berjalan berdua. MK pegang tangan saya, tapi saya tarik sebab memikirkan dia tunang orang.

Namun, MK tetap pegang dan genggam tangan saya. Saya pandang MK dengan penuh debar sebab takut kalau saya bertepuk sebelah tangan. Saya cakap pada MK: “Jangan pegang tangan orang nanti jatuh ke hati.” MK pandang dan senyum pada saya lalu berkata: “Orang suka dengan Along.”

Saya tak mampu berkata apa-apa. Malam itu MK SMS saya tanya, marah ke? Saya beritahu yang saya sebenarnya jatuh hati pada dia sejak kali pertama bertemu. MK beritahu dia juga berperasaan begitu pada saya.

Ketika Aidilfitri tahun lalu MK beritahu saya, dia ingin memutuskan pertunangannya, tapi saya halang sebab tidak mahu dia mengecewakan ibu bapanya. Akhirnya, pada Nomber tahun lalu MK selamat melangsungkan perkahwinan.

Sehingga kini saya dan MK masih berhubung. Dia berjanji akan mengambil saya sebagai isteri, cuma tunggu masa sesuai. Kadangkala dia mengadu juga mengenai masalah isterinya, tapi saya nasihatkan dia bersabar.

Setiap malam saya berdoa dan buat solat sunat hajat serta tahjud supaya Allah beri saya petunjuk apa tindakan terbaik yang patut saya lakukan. Patutkah saya meninggalkan MK sebab dia tidak akan tinggalkan saya kecuali saya yang meminta dia pergi.

Dang Setia, saya tidak sanggup minta dia tinggalkan saya, malah saya minta dia pulang ke pangkuan saya. Dengan keadaan isterinya yang ada penyakit tirod bertambah-tambah perasaan serba-salah saya.

Saya tak nak MK dan isteri bercerai dalam keadaan isterinya sakit, kecuali isterinya yang minta. Saya tak nak MK dipersalahkan.


KELIRU

Saudari, tak baik kita bergaya dengan hak orang. Lebih tak baik jika kita nak mengaku yang hak orang itu sebagai milik kita. Kalau pemilik barangan itu setuju berkongsi dengan kita, baru kita ada hak untuk menggunakannya.

Cuba bayangkan jika barang milik saudari dipakai orang tanpa kebenaran. Tentu kita marah bukan? Apatah lagi jika barang kita itu ingin dijadikan miliknya atau dalam erti kata lain, ingin dirampasnya. Pasti saudari mengamuk sakan.

Dang Setia yakin tentu saudari faham dengan analogi di atas. Tidak kira apa alasan saudari, yang pasti saudari melakukan kesalahan apabila bercinta dengan tunang orang dan kini lelaki itu bergelar suami orang.

Jika tak mahu perbuatan itu dianggap kesalahan, hanya ada satu cara, iaitu saudari berkahwin dengan lelaki itu.

Jika itu berlaku, mungkin ada perkara atau masalah lain timbul, terutama membabitkan soal persetujuan atau kebenaran isterinya, namun sekurang-kurangnya dengan berbuat demikian saudari ada hak untuk bersama lelaki itu daripada sudut perundangan dan juga Islam.

Namun, selagi saudari dan lelaki itu tidak berkahwin, selagi itu saudari melakukan kesalahan jika bersamanya. Jika dia benar-benar ikhlas mencintai saudari, dia hendaklah membuktikannya dengan mengahwini saudari secepat mungkin.

Selain berbuat demikian, segala alasan sama ada cinta, rindu, sayang dan apa saja, semuanya tidak boleh diguna pakai.

Hakikatnya, tiada kompromi dalam bab dosa dan pahala. Sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, yang haram itu nyata dan yang halal itu nyata. Dalam kes saudari, sudah jelas yang mana halal dan yang mana haram.

Bertindaklah mengikut iman dan ajaran Islam dengan memilih jalan yang halal dan bukan berpandukan nafsu dan hasutan syaitan yang mendorong kepada perlakuan haram.

Teruskan pembacaan...

Teman lelaki ragui kesucian

SOALAN

SAYA berusia 20 tahun dan masih belajar di kolej. Saya mempunyai kenangan silam yang buruk dan menghantui diri saya selama ini. Walaupun boleh menerima hakikat yang berlaku, saya tertekan dan masih dihantui kisah silam itu.


Ketika berumur sembilan tahun, saya dicabul oleh pakcik saya. Saya memang rapat dengan dia. Satu hari saya tertidur di sebelah dia ketika menonton televisyen.

Saya tersedar daripada tidur apabila kemaluan saya berasa sakit. Namun saya tak tahu sama ada saya diperkosa ketika tidur atau hanya dicabul.

Ini kerana ketika terjaga daripada tidur, pakcik saya sedang menekan kemaluan saya dengan jari, tapi tidak sampai masuk ke dalam.

Saya ingin tahu sama ada saya masih dara atau tidak. Saya buntu apabila teman lelaki suruh saya bercakap jujur dengannya sama ada saya masih dara atau tidak.

Saya tidak pernah melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki. Saya sayangkan dia. Patut ke saya berterus terang dengannya?

RIN

JAWAPAN

Kisah silam saudari dicabul pakcik sendiri memang sesuatu yang menyedihkan dan Dang Setia bersimpati pada saudari. Hakikatnya, saudari tak bersalah kerana dianiaya.

Soal sama ada saudari masih dara atau tidak, jujur Dang Setia tidak mampu menjawabnya dan ia hanya boleh dipastikan selepas melakukan pemeriksaan doktor.

Yang pasti, saudari tidak sepatutnya dihukum, sebaliknya lebih memerlukan sokongan sewajarnya daripada orang di sekeliling untuk mengatasi kenangan pahit itu dan bukan diberi tekanan yang menambah bebanan.

Tindakan teman lelaki yang mahu saudari berterus terang sama ada saudari masih dara atau tidak, bagi Dang Setia sangat tidak wajar. Ya, memang benar, setiap lelaki seboleh-bolehnya mahu kekasihnya seorang yang suci.

Namun, sebelum mengharap kesucian pasangannya, si lelaki perlu terlebih dulu memastikan dia sendiri suci. Jangan ‘kesucian’ orang lain saja diutamakan tapi ‘kesucian’ diri ditolak ke tepi.

Selain itu, jika seorang lelaki jujur dan ikhlas dalam percintaan, satu ciri yang perlu ada ialah dia harus bersedia menerima pasangannya seadanya.

Jika dia terlalu berkira dan enggan menerima kekurangan yang ada, itu petanda dia kurang sesuai menjadi pasangan, oleh itu ada baiknya hubungan yang terjalin ditamatkan bagi mengelak timbul masalah lain di masa depan.

Bagi Dang Setia, itu yang perlu saudari lakukan sekarang terhadap teman lelaki. Rasanya, tidak perlu saudari menceritakan kisah pahit itu.

Ini kerana jika diceritakan juga, tiada jaminan teman lelaki akan faham dan simpati kepada saudari, sebaliknya ada kemungkinan wujud persepsi negatif dalam dirinya terhadap saudari.

Justeru, memadai saudari memberitahu teman lelaki, jika dia benar-benar cinta dan percaya pada saudari, jangan sejarah lama dijadikan perkiraan utama, sebaliknya lihat situasi masa kini sebagai ukuran.

Maksudnya, terima saudari seadanya berdasarkan situasi sekarang. Jika dia yakin dan percaya dengan saudari, insya-Allah dia layak menjadi pasangan hidup saudari.

Namun jika dia terlalu ragu dan was-was, katakan padanya, cari orang lain yang dia lebih yakin dan percaya.

Teruskan pembacaan...

Teman wanita goda berzina

SAYA lelaki berumur 19 tahun. Saya sedar kesalahan saya dan kekasih yang sudah terlanjur. Saya ingin berubah untuk tidak melakukan lebih daripada itu dan juga yang ringan-ringan.

Saya sudah meluahkan keinginan kepadanya, tapi maklum balasnya tidak seperti saya jangkakan. Apabila saya kata tak nak lagi berzina dengannya, dia kata saya yang mengajarnya berzina.


Dia menganggap jika saya tidak mahu berzina dengannya, itu bermakna saya tak sayang dia. Memang agak pelik bila lelaki yang cuba berhenti daripada berzina, tapi yang perempuan sebaliknya.

Saya sayangkan dia dan mahu percintaan kami berlandaskan syariat Islam. Saya akui bersalah, tapi kini menyesal. Apa perlu saya lakukan untuk hentikan melakukan perkara terkutuk itu tanpa berpisah dengan kekasih saya?

RIZ
Dalam usaha untuk berubah kepada kebaikan dengan mematuhi syariat Islam, iltizam atau komitmen saudara sangat penting. Kini, iman saudara seperti diuji. Dalam usaha untuk berhenti berzina, kekasih pula enggan.

Inilah godaan namanya. Kata orang alim, godaan itu lazimnya hadir daripada syaitan, tapi banyak juga godaan datang daripada manusia yang bersifat syaitan.

Biarpun kata-kata itu kedengaran keras kerana seolah-oleh menyamakan buah hati saudara dengan syaitan, ia hakikat pahit yang perlu kita terima bersama.

Yang nyata, dalam soal menunaikan amar makruf, nahi mungkar ini, kita tidak boleh berkompromi.

Di dalam al-Quran sudah tertulis, sesungguhnya hanya ada dua jalan (kehidupan) untuk manusia, satu jalan Allah dan satu jalan syaitan serta iblis. Maksudnya, tiada jalan tengah.

Oleh itu, jika kekasih saudara tidak mahu mengikut saudara ke jalan Allah, bermakna dia mengajak saudara menuju jalan syaitan. Dengan itu saudara wajib meninggalkannya.

Ini bermakna tidak timbul persoalan: “Apa perlu saya lakukan untuk hentikan melakukan perkara terkutuk itu tanpa berpisah dengan kekasih saya?”

Sesungguhnya, saudara tidak sepatutnya berasa serba salah untuk meninggalkan kekasih jika dia enggan patuh perintah Allah.

Tidak seharusnya kita membuat pilihan antara Allah dengan kekasih, kerana sewajibnya cinta kita yang utama adalah kepada Allah dan bukan kepada manusia.

Akhir sekali, Dang Setia doakan supaya saudara kuat semangat, tabah dan jangan mudah tunduk dengan cabaran yang mendatang kerana usaha ke arah kebaikan memang banyak cabaran.

Jangan sia-siakan hidayah yang Allah kurniakan kepada saudara, sebaliknya jaga dan pelihara ia sebaik-baiknya dengan amal ibadat yang berterusan.

Teruskan pembacaan...

Aib juvana remaja

MEREKA mencuri, merogol, menjual diri, membunuh selain terbabit pergaduhan dan samseng. Ini bukan profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

MEREKA sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, minggu lalu yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Selain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.


Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 - 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

"Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara," kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

"Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah."

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

"Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah."

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak - ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

"Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

"Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka," katanya.

Teruskan pembacaan...

Kesan onani terhadap hubungan seks

SOALAN: Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga kurang setahun yang lalu. Namun saya mempunyai masalah dalam hubungan intim kerana saya tidak dapat mengekalkan ereksi.

Saya juga mendapat rungutan daripada isteri kerana tidak dapat memuaskan hatinya. Apakah onani yang saya amalkan sejak sekian lama memberikan kesan kepada hubungan seks ini?

Jawapan: Amalan onani yang telah diamalkan sejak sekian lama boleh memberikan kesan kepada hubungan intim yang normal. Lebih teruk lagi sekiranya onani yang dilakukan menggunakan cara yang ekstrem.

Onani sememangnya berbeza dengan hubungan seks yang normal kerana anda tidak perlu untuk memberikan pertimbangan kepada pasangan anda, malah anda lakukan untuk kepuasan diri sendiri semata-mata.

Hubungan intim yang normal memerlukan anda lebih bertimbang rasa serta mementingkan keselesaan di samping menghormati keinginan pasangan.

Sekiranya anda tidak dapat memenuhi harapan pasangan, tentunya ia boleh menjejaskan kualiti hubungan intim.

Onani yang dilakukan secara ekstrem akan memberikan tekanan berlebihan kepada alat kelamin yang boleh memberi kecederaan kepada saraf. Kecederaan saraf akan menjejaskan pengaliran darah ke zakar yang menjejaskan ereksi.

Ada juga yang melaporkan mereka bukan sahaja sukar untuk mengekalkan ereksi, malah ada kalanya tidak dapat mencapai ereksi.

Kajian ada menunjukkan bahawa mereka yang beronani bukan sahaja menjejaskan kualiti hubungan intim, tetapi juga lebih berisiko untuk mendapat mati pucuk.

Seharusnya anda menghentikan amalan onani dan mulakan amalan-amalan yang lebih sihat seperti dengan kawalan minda dan rangsangan seks yang lebih sihat. Jauhi rokok, pil ekstasi dan alkohol.

Terdapat kajian yang menunjukkan gingko boleh menggalakkan kesan oksida nitrik bagi membantu merehatkan dinding salur darah supaya aliran darah dapat ditingkatkan.

Hasil penemuan mengenai Horny goat weed pula mendapati ia dapat memperbaiki fungsi erektil di kalangan lelaki.


Isteri kurang minat hubungan intim
SOALAN: Saya dan isteri berusia dalam lingkungan 50-an. Isteri saya sudah pun melewati fasa menopaus.

Perubahan yang boleh saya rasai adalah isteri saya kurang berminat terhadap hubungan intim. Apakah faktor penyebab dan adakah formula tertentu yang boleh membantu?

Jawapan: Menopaus merupakan satu lagi fasa yang dilalui oleh wanita, yang bukan sahaja membawa perubahan kepada fizikal tetapi juga mental dan emosi.

Selain daripada perubahan dari segi keanjalan dan kelembapan kulit yang semakin merosot, kedinginan dalam hubungan intim juga antara masalah yang kerap diperbincangkan.

Menopaus bermakna ovari berhenti daripada mengeluarkan hormon seperti estrogen, testosteron dan hormon-hormon lain. Paras hormon-hormon yang rendah turut memberikan kesan terhadap keinginan seks di kalangan wanita.

Keadaan ini juga akan menyebabkan keadaan vagina/faraj menjadi semakin kering akibat kekurangan lembapan yang turut menjadikan hubungan intim tidak selancar dahulu.

Ada kalanya kekeringan ini akan menyebabkan hubungan seks boleh menyakitkan.

Wanita menopaus juga berhadapan dengan keadaan emosi yang mudah terganggu yang mendorong kepada tekanan, rasa rendah diri, keletihan dan sebagainya.

Keadaan ini tentunya turut memberikan kesan kepada keinginan seks dan hubungan mesra di antara pasangan.

Wanita pada fasa ini juga lebih terdedah kepada masalah jangkitan urogenital seperti jangkitan pada saluran kencing, jangkitan kulat dan bakteria yang boleh mendatangkan ketidakselesaan semasa hubungan intim.

Pengambilan sesetengah herba seperti Damiana atau nama saintifiknya Turnera Diffusa boleh menambahkan kepekaan terhadap rangsangan pada bahagian alat kelamin wanita.

Withania membantu dari segi fungsi saraf yang sihat dan membantu tekanan emosi.

Bagi yang mengalami ketidakselesaan sewaktu menopaus, pengambilan Horny goat weed atau epinedium sagittatum mungkin boleh membantu wanita mengurangkan kelesuan dan masalah yang berkaitan.

Begitu juga dengan ginseng yang menggalakkan aliran darah ke tisu-tisu vagina dan pengikatan pada sel penerima hormon.

Teruskan pembacaan...

Teman wanita tipu

SAYA bercinta dengan gadis yang bekerja di klinik panel syarikat saya sejak dua tahun lalu. Dia tinggal di asrama bersama kawan tempat kerjanya dan kami merancang bertunang pada Jun depan.

Sepanjang menjalin cinta dengan dia, alhamdulillah tiada perkara tak elok berlaku, tapi kebelakangan ini dia mula pandai menipu saya dan selalu keluar malam dengan kawannya.

Nyata dia banyak terpengaruh dengan kawan seasramanya. Dia sudah banyak kali ‘kantoi’ dengan perbuatannya menipu saya, tetapi saya tetap maafkan dia. Setiap hari saya SMS dan hubungi dia.

Namun dia masih suka menipu saya. Saya sedih mengenangkan perbuatannya. Saya nasihatkan dia supaya berterus terang dan jangan tipu saya, tapi dia tetap menipu. Saya tak tahu apa lagi nak buat.

Keluarga dia di kampung pesan pada saya supaya jaga dia baik-baik. Mereka tak suka dia keluar malam tapi mereka tak tahu itulah yang kekasih saya sering lakukan sekarang. Apa patut saya buat untuk mengubah sikap kekasih saya supaya hubungan kami baik semula?

TERTEKAN

Jujur dan setia adalah sifat yang wajib ada pada mana-mana insan yang ingin bercinta, apatah lagi jika percintaan itu berjaya diteruskan sehingga ke alam perkahwinan. Jika suami atau isteri tidak jujur dan setia, akan porak perandalah rumah tangga.

Malangnya, sifat jujur itu kini tiada pada tunang saudara. Jadi, sudah tentu hubungan anda berdua bermasalah. Selagi masalah itu tidak dapat diatasi, sepatutnya perkahwinan anda berdua tidak boleh diteruskan.

Bukan apa, Dang Setia percaya jika hendak diteruskan, saudara pun akan berasa was-was dan tidak sedap hati. Jadi, langkah terbaik ialah atasi dulu masalah ini awal-awal.

Oleh itu, yang perlu ada pada saudara sekarang ialah keberanian dan ketegasan. Saudara perlu berani berbincang hal ini secara tegas dengan kekasih. Beri dia satu jangka masa untuk dia berubah.

Jika dia gagal mengubah sikap atau masih gagal meyakinkan saudara mengenai tahap kejujurannya, saudara perlu berani untuk menamatkan hubungan dengannya.

Keberanian dan ketegasan saudara tidak boleh disalah anggap sebagai sesuatu yang keterlaluan atau mementingkan diri. Ini kerana dalam percintaan, apatah lagi perkahwinan, perlu ada pengorbanan dan tolak ansur.

Demi kebaikan bersama, setiap pasangan perlu bersedia mengubah sikap jika ia boleh memudaratkan hubungan. Perubahan bukan hanya oleh tunang, tetapi juga pada diri saudara jika ada sikap saudara yang negatif dan tidak sepatutnya.

Prinsipnya mudah saja. Untuk berkahwin, kita tak boleh berperangai seperti orang bujang. Jika ada sikap kita yang pasangan kita tak suka, kita kena buang sikap itu dan pasangan kita juga kena berbuat demikian.

Ini yang perlu saudara lakukan jika tidak mahu timbul masalah pada masa depan. Ini kerana, bagi Dang Setia, jika awal-awal lagi calon pasangan hidup kita tidak jujur dan tidak menghormati kita, dia sebenarnya tidak layak menjadi pasangan hidup kita.

Itu pendapat dan pendirian Dang Setia, namun segala-galanya terpulang kepada saudara sama ada berani dan mampu melakukannya atau sayang mengaburi mata.

serta pemikiran saudara, menyebabkan saudara sanggup menerima dia, biarpun dalam keadaan berisiko.

Teruskan pembacaan...

Keluar mazi ketika berasa seronok

Soalan:SAYA seorang remaja lelaki dan suka berkenalan dengan ramai orang terutama wanita. Mungkin fitrah saya sebagai lelaki yang mempunyai nafsu terhadap perempuan. Masalah saya ialah apabila saya berbual dengan kenalan saya sama ada melalui internet atau sistem pesanan ringkas (SMS), akan keluar cecair putih jernih atau pun air mazi daripada kemaluan saya apabila saya rasa seronok. Sedangkan saya cuma berbual perkara biasa saja, saya juga tidak berkhayal atau membayangkan sesuatu yang tidak elok, cuma rasa gembira bila berbual, air mazi akan keluar dari kemaluan saya. Berdosakah saya?

Jejaka Muda.

Jawapan:
SALAM bahagia buat jejaka muda, tahniah kerana anda sedang dalam proses menuju ke alam dewasa. Pada peringkat ini anda sangat berminat untuk memenuhi kemahuan untuk berkenalan dengan ramai orang terutama mereka yang berlainan jenis. Ini memang fitrah setiap jejaka.
Kegembiraan anda berinteraksi menimbulkan reaksi perasaan yang amat menggembirakan. Darjah kegembiraan yang anda alami menimbulkan kesan pada dorongan nafsu anda. Nafsu bukan hanya bermakna kemahuan untuk bersama atau bersetubuh atau bercumbuan saja tetapi kegembiraan anda mendorong mekanisma terutama organ yang berkaitan dengan sistem pembiakan anda terangsang dan menimbulkan reaksi berlebihan kerana asyik sangat berbual dengan rakan berlainan jantina secara langsung atau tidak akan menimbulkan keadaan itu.

Ini juga boleh berlaku bila saja melihat wanita yang menarik walaupun anda tidak membayangkan apa-apa. Ini juga tanda darjah kematangan anda yang tinggi daripada reaksi biasa, hingga mendorong air mani terkeluar sendiri. Dari segi agama sama ada anda memikirkan sesuatu yang mendorong atau tidak, anda perlu membersihkan diri seperti orang berhadas besar walaupun anda tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berunsur seksual. Ini kerana ada interaksi berlaku secara perasaan dan minda ketika anda berbual. Kerana dalam situasi itu gambaran minda dan perjalanan dengan perasaan kadang kala lebih cepat dan lebih mendalam tafsirannya dan lebih kuat impaknya pada diri anda. Oleh itu boleh juga di ibaratkan seperti mendekati perbuatan zina secara emosi dan zina secara pemikiran. Oleh itu lebih selamat “bersuci” daripada berada dalam keadaan tidak pasti atau was-was.

Satu daripada cara untuk mengurangkan tekanan emosi melampau itu ialah anda perlu membabitkan diri dalam aktiviti sukan ringan seperti berenang, boling atau apa saja sukan kegemaran anda agar sistem kawalan tubuh dapat berfungsi dengan baik hingga dapat menseimbangkan tindakan mental dan fizikal yang menerima rangsangan yang membabitkan interaksi dua hala yang berlainan jantina. Selamat mencari teman sejati secara sebenar daripada secara maya. Kerana secara maya akan meningkatkan tekanan emosi yang sukar dikawal. Umi doakan anda berjaya menemui rakan berbual secara bersemuka agar anda dapat menjalin persahabatan secara normal dan mengalami rangsangan yang juga normal dan mudah dikawal. Selamat mencuba.

Teruskan pembacaan...

Rahsia diperkosa bapa saudara

Sujud kepada Allah, pohon petunjuk-Nya

SAYA berusia 22 tahun dan masih bujang. Dipendekkan cerita, ketika saya berusia 7 atau 8 tahun, saya pernah diperkosa bapa saudara saya sendiri. Malangnya saya hanya membiarkan saja tanpa mengetahui apa yang dilakukan ke atas saya itu sebenarnya adalah salah. Tambahan pula pada waktu itu ibu bapa saya sangat garang dan saya sering dipukul mereka walaupun kesalahan yang saya lakukan kecil.

Pada usia 12 tahun saya mula sedar apa yang terjadi pada saya adalah suatu perkara yang amat mengerikan. Mulai saat itu saya menjauhkan diri dari manusia bertopengkan binatang itu kerana takut sekiranya menjadi mangsa lagi.
Dugaan datang bersilih ganti. Ketika belajar di tingkatan satu, saya ditempatkan di sekolah asrama perempuan lalu saya terjebak pula dengan budaya hubungan sesama jenis.

Sebaik saja tamat sekolah menengah saya berazam untuk berubah dan meninggalkan dunia penuh dosa itu. Saya belajar bersungguh-sungguh dan akhirnya diterima masuk ke universiti. Kini saya berada pada tahun akhir pengajian. Saya berjaya meninggalkan perasaan cintakan kaum sejenis dan mula menaruh hati pada lelaki.

Bagaimanapun, apabila saya mengenangkan kisah silam, saya jadi takut untuk berumah tangga. Saya takut berdosa pada suami jika saya tidak menceritakan sejarah hitam saya. Jika saya berterus terang pula pasti bakal suami akan tinggalkan saya.

Saya berharap puan dapat membantu saya mengurangkan tekanan yang saya hadapi kini dan apakah yang perlu saya lakukan kerana saya juga ingin disayangi dan menyayangi.

Hamba Allah

Jawapan:
HAMBA Allah yang sedang berusaha menjadi hamba Allah yang sebenar...Amin!. Masalah yang anda hadapi sepatutnya sudah dilipat kemas dan dimasukkan dalam peti kenangan serta tidak dibuka sampai bila bila-bila. Ia kerana semuanya adalah sejarah hitam kerana jika dikenang akan membuat anda sukar melangkah ke hadapan dengan positif.

Kenangan akan menjadi satu penghalang utama untuk anda membuat perubahan yang lebih positif. Seperkara lagi yang paling penting anda lakukan ialah menyayangi dan menghargai diri sendiri sebelum menyayangi orang lain.

Menghargai dan menyayangi diri bermakna anda mahu melindungi diri daripada terus dikotori dan terjebak dalam noda serta dosa besar. Jika ini tidak mampu anda lakukan anda tidak akan mampu membuat orang menyayangi dan menghormati anda.

Satu lagi perkara paling penting anda lakukan bersihkan diri dengan bertaubat nasuha, minta ampun dengan Allah dengan sepenuh hati dan berjanji tidak akan membiarkan diri terjebak lagi dalam kancah dosa serta noda.

Bertaubat gunakan bahasa sendiri dan dengan sepenuh hati sujud kepada Allah dan mengabdikan semua kesalahan yang lalu. Pohon petunjuk-Nya dalam melangkah ke hadapan.

Apa yang saya teliti, semua kegelisahan anda berpunca daripada hubungan anda dengan Pencipta renggang hinggakan anda menjadikan nafsu sebagai tuan yang memerintah diri anda. Maka, mulai sekarang bersihkan diri anda dan paksa diri dekat dengan Tuhan kerana hanya Allah pelindung teragung kita.

Langkah seterusnya ialah berkawan dengan orang yang sayang dan takut dengan Tuhan. Ini penting kerana kawan boleh mempengaruhi gaya hidup kita. Doa dengan Allah agar ditemukan teman-teman yang sedemikian. Langkah ketiga latih diri tidak lupa Tuhan dengan cara baca buku yang boleh membangun keyakinan bertuhan. Belajar dari orang yang tahu dan dapat membantu anda menyakini bahawa hidup kita ini ditentukan oleh Tuhan bukan pilihan sendiri secara mutlak. Dengan cara begitu anda dapat mengelakkan dari sikap berputus asa dengan Allah. Allah akan memberi mengikut apa yang kita usahakan.

Begitu juga dengan soal jodoh, itu semuanya di tangan Tuhan, ingat pesan-Nya setiap anak yang lahir ke dunia sudah ditentukan umurnya dan ajalnya, sudah ditentukan rezeki dan jodohnya. Hanya mereka yang tidak yakin dengan kenyataan ini saja yang akan berputus asa dalam soal masa depan dan jodoh.

Ingat pesan Allah QS Yunsuf:87 “Sesungguhnya, tiada berputus asa dari rahmat Allah kecuali orang kafir.” Allah juga sudah memberi amaran kepada kita melalui Qs Al-Ahzab:11 “Dan kamu menyangka kepada Allah dengan bermacam-macam prasangka. Di situlah diuji orang mukmin dan digoncangkan hatinya dengan goncangan yang sangat kuat. Bagi meneruskan kehidupan maka Allah akan membantu hambanya lalu dipesankan dengan penuh santun bahawa “Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan, Dan demikianlah kami selamatkan orang yang beriman.” QS.Al-Ambiya’:88.

Dengan dua pernyataan ini akan membuat anda sentiasa tenang kerana dengan membaca al-Quran saja kita akan sihat dan dengan solat kita akan berasa tenteram. Nasihat seterusnya binalah azam yang suci, positif dan jelas supaya dapat dicapai dengan izin Allah. Jangan bersyarat seolah-olah mencabar Allah. Sedarlah Allah sedar dan sangat tahu apa yang anda ucapkan. Jangan membuat janji kepada diri perkara yang bercanggah dengan peraturan agama. Soal kekurangan diri yang anda miliki serahkan terus kepada Allah kecuali apa yang anda usahakan seperti kurangkan berat badan dan paling penting jangan prasangka yang diri itu terhina dan tidak sepadan dengan sesiapa pun. Jangan juga diceritakan keaiban kita dengan sesiapa pun kecuali dengan Allah kerana tidak banyak untungnya. Biar Allah yang membuat perhitungan mengenai tentang nasib dan masa depan kita kerana Dia Yang Maha Tahu, siapa jodoh kita sebenarnya.

Teruskan pembacaan...

Gadis ketagih seks

SAYA berumur 19 tahun dan masih belajar. Ketika berumur 10 tahun, saya melakukan hubungan seks dengan sepupu saya. Dalam usia yang terlalu muda, saya langsung tidak mengerti apa yang saya lakukan.

Seingat saya, dua kali sepupu saya meniduri saya dan kejadian berlaku apabila dia datang ke rumah saya ketika cuti sekolah. Ayah tidak tahu hal ini kerana sibuk bekerja, manakala ibu pula sibuk menguruskan hal enam anaknya yang lain.


Ibu juga dulunya tidak mengendahkan saya. Ibu hanya memberi makan dan kasih sayang sekali-sekala kepada saya. Selebihnya saya banyak berdikari. Sekarang, sepupu saya menerima rawatan di Pusat Serenti kerana terbabit dengan dadah.

Saya bersyukur pada Allah kerana tidak menemukan saya dengan dirinya lagi. Mungkin jika berdepan dengannya, segala macam perasaan takut, benci dan marah akan timbul dalam diri saya.

Selain itu, ketika kanak-kanak, saya juga pernah melakukan hubungan seks dengan pak cik saya. Bagaimanapun, ketika usia 11 tahun saya mula mengerti apa maknanya ‘rogol’. Saya juga tahu apabila melakukan hubungan seks, seorang perempuan boleh mengandung dan melahirkan anak.

Saya juga mula faham bahawa hubungan seks sepatutnya hanya boleh dilakukan oleh orang yang berkahwin. Dengan pemahaman itu, saya mula menjaga kehormatan diri dan tidak lagi melakukan hubungan seks dengan sesiapa pun.

Masalahnya, mungkin disebabkan pernah melakukan hubungan seks, kini saya ketagih untuk melakukannya lagi. Untuk memuaskan nafsu, saya kerap melakukan onani dengan sebarang objek.

Saya tak mahu perbuatan ini berterusan, tapi saya sukar menghentikannya. Apa perlu saya lakukan? Saya juga ingin tahu, jika kerap melakukan onani, adakah saya susah dapat anak apabila berkahwin kelak?

Dang Setia, saya sedih dengan apa yang berlaku ke atas diri saya. Ketika di tingkatan dua saya mula terfikir mengenai status saya, adakah saya masih ada dara atau tidak? Saya tidak suka bila nenek, ibu dan ayah panggil saya anak dara.

Sekarang saya ada teman lelaki. Kami berkawan sejak saya tingkatan empat lagi. Dengan dia, saya tidak pernah lakukan hubungan seks betul-betul, tapi secara luaran saja. Saya cerita segala masalah saya padanya dan syukur dia menerima saya seadanya.

Masalahnya, saya senang tergoda dengan rayuannya dan saya bimbang akan terlanjur melakukan hubungan seks. Kini saya keluar malam untuk berjumpa dengannya tanpa pengetahuan ibu bapa, biarpun saya tahu risikonya.

Ayah pernah memberi amaran pada saya jika saya ditangkap (pihak berkuasa) kerana melakukan perbuatan tidak senonoh, ayah tidak akan jamin saya. Saya terfikir, adakah ayah kata begitu kerana dia tidak sayang saya?

Dang Setia, tolong bagi pendapat atau bimbingan apa perlu saya lakukan untuk memperbaiki kehidupan saya.



CUTEGIRL 09

Klang, Selangor



Amat sedih sekali kerana dalam usia yang masih muda adik menempuhi pelbagai pengalaman pahit dan mengaibkan sehingga ia mempengaruhi serta menjejaskan kehidupan adik pada masa kini.

Namun, pada masa sama Dang Setia bersyukur kerana adik diberi kesedaran dan keinsafan untuk keluar daripada kehidupan yang menyesatkan serta kembali kepada kehidupan yang diredai Allah.

Bagi Dang Setia, itu tandanya Allah masih sayangkan adik. Allah tidak mahu adik terus dianiaya, hanyut dan sesat, lalu diberinya adik hidayah atau petunjuk. Namun, adik kini bertanggungjawab menjaga hidayah itu.

Jika tiada tindakan atau usaha untuk menterjemahkan hidayah itu kepada amalan, lama kelamaan kesedaran dan keinsafan yang timbul di dalam adik akan hilang secara perlahan-lahan, maka kembalilah adik kepada cara kehidupan lama.

Bila hidayah atau petunjuk Allah itu akan adik dapat semula? Jawapannya, hanya Allah tahu. Cuma yang dibimbangi, jika ia datang hanya sekali dan tiada kali kedua dan ketiga. Nauzubillah, jika itu berlaku, akan hiduplah kita dalam kegelapan hingga ke akhir hayat. Mudah-mudahan itu tidak berlaku.

Persoalannya sekarang, bagaimana untuk menjaga hidayah itu apa usaha yang perlu adik lakukan untuk menterjemahkan hidayah itu kepada amalan atau dalam erti kata lain, mengubah kehidupan adik kepada cara hidup yang diredai Allah.

Untuk berubah, dua faktor penting dan saling berkait perlu diambil kira, iaitu faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman merujuk kepada bekalan diri atau ilmu, usaha dan komitmen.

Faktor luaran pula membabitkan persekitaran seperti suasana dalam rumah atau tempat kerja, hubungan dengan ibu bapa dan adik beradik, siapa kawan dan tidak lupa, hubungan dengan kekasih.

Untuk mewujudkan faktor dalaman yang kondusif atau membina, disiplin dan kesungguhan diri sangat penting. Ada peraturan yang wajib kita patuhi iaitu apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh. Peraturan itu ialah syariat Islam.

Ia dicipta oleh Allah SWT sebagai panduan untuk kita ikuti. Intipati utama syariat Islam ialah lakukan apa yang disuruh Allah dan jauhi apa yang dilarang-Nya. Contohnya, solat fardu tidak boleh adik tinggalkan sama sekali, begitu juga dengan puasa, zakat dan ibadat fardu lain.

Untuk melakukan semua amalan itu, adik perlu ada ilmu. Jadi, carilah ilmu itu. Belajar daripada ustaz atau ustazah, baca buku agama dengan kuliah agama dan lain-lain. Apabila itu adik lakukan, semakin kukuhlah iman adik. Iman yang tuguh amat perlu kerana hanya ia mampu menjadi perisai atau benteng untuk menepis godaan hawa nafsu.

Apabila iman semakin subur, baru saudara ada kekuatan untuk menentang godaan nafsu dan hasutan syaitan. Maksudnya, hanya dengan iman yang teguh adik mampu mengatasi masalah ketagih melakukan onani yang adik alami sekarang.

Bagi Dang Setia, soal sama ada adik masih dara atau tidak tidak perlu adik risaukan sangat. Secara normalnya, berdasarkan sejarah hitam adik, Dang Setia percaya adik sudah hilang dara. Namun, perkara lepas tidak guna kita tangisi, sebaliknya manfaatkan masa sekarang untuk mencipta masa depan yang lebih sempurna.

Sekarang kita pergi pula kepada faktor luaran yang turut penting sebagai sokongan untuk membantu membina faktor dalaman. Tanpa persekitaran yang baik, hubungan positif dengan keluarga dan rakan, selain memastikan rakan dan kekasih turut mematuhi syariat Islam, adik sukar untuk berubah.

Maksudnya, jika adik bimbang atau tidak yakin mampu mengawal diri apabila berjumpa kekasih, elak berjumpa dengannya atau sekurang-kurangnya pastikan perjumpaan itu turut dihadiri peneman serta diadakan di tempat terbuka.

Jika kekasih adik didapati sekadar membuka laluan untuk adik lakukan maksiat, adik perlu berani bertindak sehingga ke tahap memutuskan hubungan dengannya. Ingat, hubungan dengan Allah yang kini perlu adik jaga, bukan hubungan dengan kekasih yang merosakkan.

Teruskan pembacaan...

REMAJA bawah umur yang berjinak-jinak dengan seks sering menunjukkan tanda-tanda...

Ada memencilkan diri dan ada pula sering menyimpan rahsia. Rata-rata mereka ingin menarik perhatian dan kasih sayang.

Demikian menurut para kaunselor, pembimbing dan ibu bapa yang diminta Berita Harian mengulas tentang kes seorang wanita berusia 32 tahun yang dihukunm penjara kerana mengadakan hubungan seks dengan seorang budak lelaki berusia 13 tahun.

Janda anak satu itu telah mengadakan hubungan seks dengan budak itu tujuh kali pada Mei tahun lalu.

Rabu lalu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas wanita itu setelah dia mengaku salah bagi dua daripada tujuh tuduhan mengadakan seks dengan lelaki bawah usia 16 tahun.

Pada Februari lalu pula, seorang bekas guru wanita dihukum penjara 10 bulan kerana mengadakan hubungan seks dengan seorang budak berusia 15 tahun.

Pengarah Eksekutif Pusat Khidmat Keluarga PPIS Jurong, Encik Mohammed Ali Mahmood, berkata budak bawah umur yang mengadakan hubungan seks sering tidak mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa mereka.

'Remaja seperti ini akan mudah terpengaruh oleh kata-kata manis mereka yang ingin mengambil kesempatan,' kata beliau.

Encik Mohamed Ali menasihatkan ibu bapa supaya berwaspada dan sentiasa memerhatikan gerak geri anakanak mereka.

'Ibu bapa perlu sering bertanya khabar anak-anak mereka dan meluangkan masa untuk mengadakan kegiatan riadah bersama mereka,' kata beliau.

Seorang pembimbing, Cik Lina Abdul, 37 tahun, berkata ibu bapa perlu juga cepat mengesan jika anak mereka mula menyimpan rahsia dan kurang berterus terang.

'Remaja yang mengadakan hubungan seks sedar mereka melakukan perkara salah tetapi berasa ia sesuatu yang menyeronokkan dan oleh itu akan menyimpan rahsia dan tidak akan memberitahu ibu bapa mereka,' kata ibu tiga anak itu.

Teruskan pembacaan...

Sudah terlanjur dilarang nikah

SOALAN

SAYA berusia 24 tahun dan menuntut dalam tahun dua di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Saya mempunyai teman lelaki berusia 26 tahun dan dikenali sejak lima tahun lalu. Dia penuntut sambilan di IPTS lain.


Walaupun menuntut secara sambilan, dia tidak bekerja dan menyewa di flet kepunyaan keluarga saya sejak empat tahun lalu.

Dia hanya membayar sewa apabila bekerja kerana sering bertukar kerja. Masalah itu menyebabkan dia menganggur kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan baru.

Saya beberapa kali menasihatinya mengumpul duit supaya dapat berkahwin segera kerana kami sudah beberapa kali terlanjur.

Baru-baru ini, saya ada menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada keluarga dan keluarganya bersetuju dengan wang hantaran yang saya minta.

Keluarga saya pada mulanya tidak menyukainya tetapi disebabkan kerajinannya membantu ketika diperlukan, dia diterima. Kami bercadang bertunang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas persetujuan di buat, ibu berjumpa bomoh untuk melihat sama ada dia sesuai untuk saya atau tidak.

Pulang ke rumah, ibu melarang saya berkahwin dengan dia kerana menurut bomoh terbabit, teman lelaki saya dikatakan kaki perempuan dan panas baran.

Hati saya hancur tetapi tidak mampu melakukan apa-apa melainkan mendiamkan diri kerana tidak mahu menderhaka. Saya tahu dia tidak begitu kerana selama ini teman lelaki melayan saya dengan baik dan tidak keluar dengan wanita lain.

Saya amat tertekan apatah lagi akan menduduki peperiksaan akhir semester. Saya mengalami kemurungan dan tidak dapat memberi fokus kepada pelajaran.

Tolonglah Dr, apa patut saya lakukan.


JAWAPAN

TINDAKAN ibu berjumpa dengan bomoh bagi mengetahui sikap dan tingkah laku teman lelaki adik mungkin didorong perasaan sayang serta ingin melihat anaknya mendapat suami yang baik. Seseorang ibu pastinya selalu menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Namun, tindakannya berjumpa dengan bomoh itu tidak disenangi adik.

Dalam satu artikel bertajuk “Jauhi khidmat bomoh guna sihir’ oleh Lokman Ismail menjelaskan mengikut Kamus Dewan, gelaran bomoh, dukun, tukang tenung dan pawang mempunyai makna berbeza, tetapi membawa maksud hampir sama.

Dalam konteks seharian dan umum, penggunaan perkataan bomoh lebih kerap digunakan bagi menjelaskan orang yang mengubat orang sakit dengan cara tradisional dan jampi. Menurut Lokman, kebolehan bomoh yang dianggap istimewa menjadikan ia pilihan menyelesaikan masalah berkaitan.

Dari sudut agama, amalan bomoh perlu mengikuti kriterianya. Jika tidak teliti dan tak memahami panduan ditetapkan syariat, amalan itu mudah menghampirkan seseorang kepada syirik. Islam juga mengharamkan perbuatan menilik.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud dari Abu Hurairah bermaksud: “Barang siapa mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang mereka katakan, sungguh ia kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” Namun, berjumpa bomoh untuk kebaikan tidak ditegah jika dilakukan mengikut tuntutan syariat.

Berbalik dengan masalah adik, oleh kerana rasa hormat dan tidak mahu menderhaka kepada ibu, adik mendiamkan diri. Tetapi pada waktu yang sama, adik berasa begitu terseksa sehingga mengalami kemurungan.

Untuk mengurangkan tekanan dan kemurungan yang adik alami, luahkan perasaan itu kepada ibu. Berbincang cara baik dengan ibu mengenai apa yang sudah berlaku antara adik dengan teman lelaki.

Selain itu, jelaskan juga apa yang adik sedang lalui iaitu mengalami kemurungan sehingga mengganggu pelajaran.

Hati ibu mudah mengasihani. Bak kata pepatah ‘kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang galah’ dan ‘kasih sayang seorang ibu takkan terganti’. Jika ibu benar-benar sayangkan adik, tentu sekali dia akan mengambil tindakan yang membantu dalam mengatasi masalah ini.

Selain itu, jika ibu adik benar-benar ingin mengetahui mengenai sikap dan tingkah laku teman lelaki, jelaskan dia boleh melakukannya dengan bertanya terus kepadanya atau orang yang rapat dengannya. Ibu juga boleh bertandang sendiri ke rumah keluarga teman lelaki.

Dalam permasalahan adik ini, perkahwinan adalah penyelesaian terbaik untuk kalian berdua lebih-lebih lagi masalah keterlanjuran adik berdua. Dengan berkahwin, ia boleh mengelak adik dan teman lelaki daripada melakukan perkara yang tidak baik.

Jika perkahwinan ini dilaksanakan, adalah lebih baik teman lelaki adik itu bekerja supaya dia boleh menjalankan tanggungjawabnya dengan memberi adik makan, minum, pakai dan tempat tinggal daripada sumber serta usaha halal.

Firman Allah bermaksud: “Lelaki itu pemimpin bagi perempuan dengan apa-apa yang Allah lebihkan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain dan lantaran lelaki itu memberikan nafkah dengan harta mereka. Perempuan yang baik ialah perempuan yang setia dan menjaga diri di belakang suami akan apa-apa yang disuruh Allah menjaganya.” (An-Nisa ayat 34)

Teruskan pembacaan...

Kekasih terlanjur bertunang

SOALAN

SAYA menjalin hubungan dengan teman wanita selama tiga tahun dan setiap kali berjumpa kami akan terlanjur.

Dua bulan lalu, hubungan kami terpaksa diputuskan kerana dia dijodohkan dengan pilihan keluarganya.

Saya kecewa kerana keluarganya sendiri mengetahui hubungan kami.

Sehingga kini, walaupun dia sudah menjadi tunangan orang, kami tetap saling mencintai.

Dr apa yang seharusnya saya lakukan? Adakah saya patut berterus terang dengan keluarganya dan menceritakan keterlanjuran kami?

Saya berharap agar Dr dapat membantu saya dalam menyelesaikan masalah ini.

Jejaka sedih,
BAGAN SERAI


JAWAPAN

'CINTA itu adalah apa yang dingin. Sesiapa yang mendekatinya tidak akan terbakar, tetapi tertangkap di dalamnya.'

Begitulah adik. Adik tidak terbakar, tetapi terperangkap dalam percintaan.

Adik kini mengalami konflik akibat kekasih bakal dimiliki orang lain.

Jika adik benar-benar serius untuk memperisterikan kekasih, berterus teranglah dengan keluarganya mengenai perhubungan kalian berdua terutama keterlanjuran yang berlaku.

Sekurang-kurangnya dengan tindakan itu, ia dapat memberi ruang kepada keluarga kekasih adik untuk membuat keputusan siapa lelaki terbaik untuk anak mereka.

Namun, andai mereka tetap tidak menerima adik, anggaplah kalian berdua tidak ada jodoh dan doakanlah kesejahteraannya.

Pepatah ada mengatakan 'cinta sejati adalah ketika dia mencintai orang lain dan kamu masih mampu tersenyum, sambil berkata: "Aku turut bahagia untukmu."'

Jika adik benar-benar mencintainya, sentiasalah mendoakannya walaupun dia tiada di sisi. Cinta juga adalah keabadian dan kenangan terindah pernah dialami.

Teruskan pembacaan...

Gadis sedih teman lelaki tak pandai memujuk

SAYA berumur 22 tahun dan menuntut di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang sebaya dan dia sudah bekerja. Kami bercinta sejak saya berumur 13 tahun lagi dan sehingga kini kami masih lagi bersama. Kami merancang berkahwin selepas saya tamat belajar.

Saya sangat menyayanginya tetapi kami sentiasa gaduh dan boleh dikatakan seminggu sekali. Pergaduhan kami tidak akan selesai selagi kami tidak tidak mengeluarkan air mata dan itu sajalah jalan penyelesaiannya.


Punca kami selalu gaduh adalah sebab terasa hati. Lepas itu kedua-duanya merajuk. Tapi bila saya merajuk dia tidak pernah memujuk saya. Sebaliknya dia akan merajuk dengan saya dan keadaan ini menambahkan lagi rasa sakit hari saya dengannya. Kerana ego, kami bergaduh dan masing-masing tidak mahu mengalah.

Setiap kali bergaduh, saya terpaksa memujuk diri sendiri dan juga dirinya serta membuang rasa sakit hati saya terhadapnya. Jika nak harapkan dia untuk memujuk saya, entah bila dia akan buat begitu.

Dengan keadaan ini, satu saja yang saya inginkan dan perlukan darinya iaitu memahami saya. Saya mahu dia tahu bahawa apabila saya marah, dia sepatutnya melembutkan hati saya dan mengelakkan pergaduhan yang disebabkan perkara yang remeh. Itu saja yang saya perlukan darinya.

Dia pernah memberitahu yang dia tidak pandai memujuk tetapi dia boleh belajar untuk melakukannya. Sekeras-keras hati seorang perempuan apabila dipujuk akhirnya lembut juga. Jika hati sudah sayang bermacam-macam yang kita akan lakukan dan kita sanggup berkorban apa saja asalkan perhubungan ini kekal abadi buat selama-lamanya. Saya benar-benar mengharapkan dia memahami situasi saya dan berusaha untuk berubah.



Jawapan:

AMBOI, nampaknya percintaan adik dengan kekasih hati yang sudah lama berputik ini sememangnya banyak dugaannya. Cara dan personaliti orang berbeza. Setiap individu adalah unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Keunikan dan keistimewaan inilah yang banyak mewarnai sesuatu perhubungan bercinta itu.

Kekasih adik menyayangi adik dengan caranya sendiri. Sifatnya yang tidak pandai memujuk adik banyak bergantung kepada personaliti dirinya yang banyak dipengaruhi oleh lingkungan budaya, corak didikan dan sifat diri. Memaksa seseorang untuk berubah bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Tidak semestinya seorang yang tidak pandai memujuk menunjukkan dia bukan seorang kekasih yang baik. Begitulah sebaliknya. Kata-kata yang manis tidak semestinya menunjukkan tingkah laku yang baik.

Keinginan adik agar setiap kali merajuk, kekasih akan memujuk. Bagaimana pula dengan persepsi kekasih adik tentang satu perhubungan yang baik? Adakah ia sama dengan persepsi dan keinginan adik? Adakah kekasih adik akan melakukan sesuatu dengan terpaksa hanya kerana ingin memuaskan keperluan adik?

Dalam perhubungan adik berdua, sememangnya baik jika masing-masing dapat memenuhi keperluan pasangan seikhlasnya. Tetapi jika ini tidak berlaku, memahami keinginan dan kelemahan pasangan adalah satu jalan untuk meneruskan perhubungan. Seterusnya, menerima seadanya diri dan pasangan adalah jalan terbaik dalam memastikan hubungan terjaga rapi.

Duduklah berbincang mengenai apa yang disukai dan tidak oleh diri dan pasangan. Cari cara mengatasi masalah yang wujud. Jika diri tidak dapat berubah disebabkan oleh faktor personaliti dan sikap atas perkara-perkara yang membabitkan emosi, terimalah perkara ini seadanya.

Kesetiaan kekasih untuk bersama-sama adik sejak umurnya 13 tahun lagi sudah jelas membuktikan dia menghargai perhubungan ini. Jika dia boleh berubah dari seorang yang tidak pandai memujuk kepada pemujuk yang baik, ia satu tanda positif. Jika tidak, terimalah diri seadanya.

Adik pula, janganlah memujuk kerana terpaksa dan kemudian merasa sakit hati kerana terpaksa melakukannya. Lakukannya secara ikhlas. Jika terpaksa lakukannya juga, anggaplah ia sebagai satu rutin yang bukan disebabkan oleh kekasih tidak memujuk kerana tidak sanggup berkorban dalam mengekalkan perhubungan. Tetapi itulah dirinya yang sebenar. Terimalah dia sebagaimana diri seadanya.

Teruskan pembacaan...

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP