Kekasih hati suami orang

SAYA gadis berusia 27 tahun. Pada 2006 saya berkenalan dengan lelaki bernama MK yang juga anak kawan emak saya.

Pandang pertama sudah buat saya jatuh hati dengannya, tapi saya pendamkan perasaan saya. Perkenalan itu terhenti setakat itu saja, tapi saya simpan nombor telefon bimbit MK.


Pada 2007 saya teringatkan MK lalu menghantar SMS kepadanya. Dia terus telefon saya dan bermula dari situ saya dan MK selalu hantar SMS, kadangkala sampai tengah malam. Bagaimanapun, pada hujung 2007 baru saya tahu MK sudah bertunang.

Saya sangat kecewa dan marah. Tiga bulan saya tak berhubung dengan MK, tapi emak selalu tanya saya ada telefon atau SMS MK tak? Saya jawab tak ada masa, kalau selisih dengan MK pun saya tak akan pedulikannya.

Bagaimanapun, apabila emak selalu bertanya hal saya dengan MK, hati saya jadi lembut. Saya SMS MK dan minta maaf. MK seronok bila saya telefon dia. Walaupun tinggal sekampung, kami jarang dapat berjumpa.

Ogos tahun lalu, saya bertukar ke tempat lain dan MK datang berjumpa saya. Bila berjumpa, terasa kami sangat selasa dan serasi. Kami selalu menghantar e-mel dan SMS.

Satu petang ketika Ramadan tahun lalu, kami ke pasar Ramadan untuk membeli juadah. Seronok rasanya bila dapat berjalan berdua. MK pegang tangan saya, tapi saya tarik sebab memikirkan dia tunang orang.

Namun, MK tetap pegang dan genggam tangan saya. Saya pandang MK dengan penuh debar sebab takut kalau saya bertepuk sebelah tangan. Saya cakap pada MK: “Jangan pegang tangan orang nanti jatuh ke hati.” MK pandang dan senyum pada saya lalu berkata: “Orang suka dengan Along.”

Saya tak mampu berkata apa-apa. Malam itu MK SMS saya tanya, marah ke? Saya beritahu yang saya sebenarnya jatuh hati pada dia sejak kali pertama bertemu. MK beritahu dia juga berperasaan begitu pada saya.

Ketika Aidilfitri tahun lalu MK beritahu saya, dia ingin memutuskan pertunangannya, tapi saya halang sebab tidak mahu dia mengecewakan ibu bapanya. Akhirnya, pada Nomber tahun lalu MK selamat melangsungkan perkahwinan.

Sehingga kini saya dan MK masih berhubung. Dia berjanji akan mengambil saya sebagai isteri, cuma tunggu masa sesuai. Kadangkala dia mengadu juga mengenai masalah isterinya, tapi saya nasihatkan dia bersabar.

Setiap malam saya berdoa dan buat solat sunat hajat serta tahjud supaya Allah beri saya petunjuk apa tindakan terbaik yang patut saya lakukan. Patutkah saya meninggalkan MK sebab dia tidak akan tinggalkan saya kecuali saya yang meminta dia pergi.

Dang Setia, saya tidak sanggup minta dia tinggalkan saya, malah saya minta dia pulang ke pangkuan saya. Dengan keadaan isterinya yang ada penyakit tirod bertambah-tambah perasaan serba-salah saya.

Saya tak nak MK dan isteri bercerai dalam keadaan isterinya sakit, kecuali isterinya yang minta. Saya tak nak MK dipersalahkan.


KELIRU

Saudari, tak baik kita bergaya dengan hak orang. Lebih tak baik jika kita nak mengaku yang hak orang itu sebagai milik kita. Kalau pemilik barangan itu setuju berkongsi dengan kita, baru kita ada hak untuk menggunakannya.

Cuba bayangkan jika barang milik saudari dipakai orang tanpa kebenaran. Tentu kita marah bukan? Apatah lagi jika barang kita itu ingin dijadikan miliknya atau dalam erti kata lain, ingin dirampasnya. Pasti saudari mengamuk sakan.

Dang Setia yakin tentu saudari faham dengan analogi di atas. Tidak kira apa alasan saudari, yang pasti saudari melakukan kesalahan apabila bercinta dengan tunang orang dan kini lelaki itu bergelar suami orang.

Jika tak mahu perbuatan itu dianggap kesalahan, hanya ada satu cara, iaitu saudari berkahwin dengan lelaki itu.

Jika itu berlaku, mungkin ada perkara atau masalah lain timbul, terutama membabitkan soal persetujuan atau kebenaran isterinya, namun sekurang-kurangnya dengan berbuat demikian saudari ada hak untuk bersama lelaki itu daripada sudut perundangan dan juga Islam.

Namun, selagi saudari dan lelaki itu tidak berkahwin, selagi itu saudari melakukan kesalahan jika bersamanya. Jika dia benar-benar ikhlas mencintai saudari, dia hendaklah membuktikannya dengan mengahwini saudari secepat mungkin.

Selain berbuat demikian, segala alasan sama ada cinta, rindu, sayang dan apa saja, semuanya tidak boleh diguna pakai.

Hakikatnya, tiada kompromi dalam bab dosa dan pahala. Sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, yang haram itu nyata dan yang halal itu nyata. Dalam kes saudari, sudah jelas yang mana halal dan yang mana haram.

Bertindaklah mengikut iman dan ajaran Islam dengan memilih jalan yang halal dan bukan berpandukan nafsu dan hasutan syaitan yang mendorong kepada perlakuan haram.

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP