Sudah terlanjur dilarang nikah

SOALAN

SAYA berusia 24 tahun dan menuntut dalam tahun dua di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Saya mempunyai teman lelaki berusia 26 tahun dan dikenali sejak lima tahun lalu. Dia penuntut sambilan di IPTS lain.


Walaupun menuntut secara sambilan, dia tidak bekerja dan menyewa di flet kepunyaan keluarga saya sejak empat tahun lalu.

Dia hanya membayar sewa apabila bekerja kerana sering bertukar kerja. Masalah itu menyebabkan dia menganggur kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan baru.

Saya beberapa kali menasihatinya mengumpul duit supaya dapat berkahwin segera kerana kami sudah beberapa kali terlanjur.

Baru-baru ini, saya ada menyatakan hasrat untuk berkahwin kepada keluarga dan keluarganya bersetuju dengan wang hantaran yang saya minta.

Keluarga saya pada mulanya tidak menyukainya tetapi disebabkan kerajinannya membantu ketika diperlukan, dia diterima. Kami bercadang bertunang akhir tahun ini.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas persetujuan di buat, ibu berjumpa bomoh untuk melihat sama ada dia sesuai untuk saya atau tidak.

Pulang ke rumah, ibu melarang saya berkahwin dengan dia kerana menurut bomoh terbabit, teman lelaki saya dikatakan kaki perempuan dan panas baran.

Hati saya hancur tetapi tidak mampu melakukan apa-apa melainkan mendiamkan diri kerana tidak mahu menderhaka. Saya tahu dia tidak begitu kerana selama ini teman lelaki melayan saya dengan baik dan tidak keluar dengan wanita lain.

Saya amat tertekan apatah lagi akan menduduki peperiksaan akhir semester. Saya mengalami kemurungan dan tidak dapat memberi fokus kepada pelajaran.

Tolonglah Dr, apa patut saya lakukan.


JAWAPAN

TINDAKAN ibu berjumpa dengan bomoh bagi mengetahui sikap dan tingkah laku teman lelaki adik mungkin didorong perasaan sayang serta ingin melihat anaknya mendapat suami yang baik. Seseorang ibu pastinya selalu menginginkan yang terbaik untuk anaknya. Namun, tindakannya berjumpa dengan bomoh itu tidak disenangi adik.

Dalam satu artikel bertajuk “Jauhi khidmat bomoh guna sihir’ oleh Lokman Ismail menjelaskan mengikut Kamus Dewan, gelaran bomoh, dukun, tukang tenung dan pawang mempunyai makna berbeza, tetapi membawa maksud hampir sama.

Dalam konteks seharian dan umum, penggunaan perkataan bomoh lebih kerap digunakan bagi menjelaskan orang yang mengubat orang sakit dengan cara tradisional dan jampi. Menurut Lokman, kebolehan bomoh yang dianggap istimewa menjadikan ia pilihan menyelesaikan masalah berkaitan.

Dari sudut agama, amalan bomoh perlu mengikuti kriterianya. Jika tidak teliti dan tak memahami panduan ditetapkan syariat, amalan itu mudah menghampirkan seseorang kepada syirik. Islam juga mengharamkan perbuatan menilik.

Dalam hadis diriwayatkan Abu Daud dari Abu Hurairah bermaksud: “Barang siapa mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang mereka katakan, sungguh ia kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” Namun, berjumpa bomoh untuk kebaikan tidak ditegah jika dilakukan mengikut tuntutan syariat.

Berbalik dengan masalah adik, oleh kerana rasa hormat dan tidak mahu menderhaka kepada ibu, adik mendiamkan diri. Tetapi pada waktu yang sama, adik berasa begitu terseksa sehingga mengalami kemurungan.

Untuk mengurangkan tekanan dan kemurungan yang adik alami, luahkan perasaan itu kepada ibu. Berbincang cara baik dengan ibu mengenai apa yang sudah berlaku antara adik dengan teman lelaki.

Selain itu, jelaskan juga apa yang adik sedang lalui iaitu mengalami kemurungan sehingga mengganggu pelajaran.

Hati ibu mudah mengasihani. Bak kata pepatah ‘kasih ibu sepanjang jalan, kasih anak sepanjang galah’ dan ‘kasih sayang seorang ibu takkan terganti’. Jika ibu benar-benar sayangkan adik, tentu sekali dia akan mengambil tindakan yang membantu dalam mengatasi masalah ini.

Selain itu, jika ibu adik benar-benar ingin mengetahui mengenai sikap dan tingkah laku teman lelaki, jelaskan dia boleh melakukannya dengan bertanya terus kepadanya atau orang yang rapat dengannya. Ibu juga boleh bertandang sendiri ke rumah keluarga teman lelaki.

Dalam permasalahan adik ini, perkahwinan adalah penyelesaian terbaik untuk kalian berdua lebih-lebih lagi masalah keterlanjuran adik berdua. Dengan berkahwin, ia boleh mengelak adik dan teman lelaki daripada melakukan perkara yang tidak baik.

Jika perkahwinan ini dilaksanakan, adalah lebih baik teman lelaki adik itu bekerja supaya dia boleh menjalankan tanggungjawabnya dengan memberi adik makan, minum, pakai dan tempat tinggal daripada sumber serta usaha halal.

Firman Allah bermaksud: “Lelaki itu pemimpin bagi perempuan dengan apa-apa yang Allah lebihkan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain dan lantaran lelaki itu memberikan nafkah dengan harta mereka. Perempuan yang baik ialah perempuan yang setia dan menjaga diri di belakang suami akan apa-apa yang disuruh Allah menjaganya.” (An-Nisa ayat 34)

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP