Irma cinta Nabil

BUKAN rahsia lagi! Bunga cinta antara pelakon Irma Hasmie dan juara Raja Lawak 2, Nabil semakin mekar dan mengharum.

Biarpun beberapa bulan sebelum ini mereka masih mencari jawapan kepada persoalan hati dan perasaan namun sebaik merasakan bahawa

mereka semakin serasi bersama, Irma dan Nabil tidak pula menyembunyikan hubungan istimewa antara keduanya.

Malah mereka boleh dianggap pasangan artis muda yang begitu terbuka dan yakin sekali untuk mengakui rasa hati terhadap diri masing-masing.

Biarpun hubungan yang baru berputik itu sudah mula disinggahi kontroversi gara-gara aksi peluk Nabil yang terlalu teruja dengan kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular 2008 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), baik Nabil mahupun Irma tidak mudah melatah.

Memang nama Irma tiba-tiba panas dek kejadian itu. Dan Irma sendiri mengakui terkejut dengan tindakan buah hatinya yang merangkul dirinya di khalayak, dipancar pula secara langsung di kaca televisyen.

Namun Irma bukan sahaja tidak mahu memanjangkan topik yang hangat diperkatakan orang itu malah optimis terhadap hubungannya dengan anak jati Negeri Sembilan yang bernama sebenar Ahmad Nabil Ahmad itu akan berlangsung dalam suasana harmoni.

Tetapi sebagai artis yang lebih senior, Irma turut menasihatkan Nabil agar lebih berhati-hati dengan tindakannya di masa hadapan.

“Nabil sendiri sebenarnya meminta maaf kepada saya kerana perlakuan yang diluar jangkaan itu. Dia kata dia tak sengaja. Mungkin dia terlalu teruja dan lagak itu berlaku spontan dan di luar kawalan,” kata Irma.

Irma yang ditemui pada sesi fotografi bersama Pancaindera Selasa lalu, dua hari selepas kejadian, mengakui dia sendiri malu dengan kejadian yang berlaku.

“Nabil pun dah sedar dan saya tak mahu panjangkan hal ini. Di pihak saya pun, saya mahu minta maaf atas apa yang berlaku,” katanya.

Tidak mahu mengharungi sebuah hubungan yang penuh kontroversi malah menegaskan tidak mahu memperbesar-besarkan kisah hubungan cintanya dengan Nabil secara keterlaluan. Bukan sahaja kerana tidak mahu orang jelak dengan kisah cinta mereka, lebih penting, kata Irma, hubungan mereka baru sahaja hendak berputik.

Masih panjang jalan yang perlu dilalui dan diharungi, ujar Irma tenang.

“Sebagai orang yang rapat dengan dia (Nabil), sudah tentu saya gembira dengan kejayaannya itu. Tapi saya pun malu bila orang bertanyakan perasaan saya atas kejayaan Nabil itu.

“Saya risau, takut peminatnya kurang senang sebab yang menang dia, bukan saya. Takut nanti dikata mengambil kesempatan,” tambah Irma.

l Cinta berputik

Pertama kali bertentang mata ketika kedua-duanya diminta bergambar bersama ketika menjayakan satu majlis anjuran sebuah majalah. Pertemuan kedua pula ketika berkerja bersama untuk program Astro, Gegar Gitu Raya dan sejak itu, Irma mengakui mereka rapat namun masih belum menaruh perasaan.

Saling suka menyukai, Irma mengakui dia menyenangi kehadiran Nabil di sisinya namun kata Irma, oleh kerana masih tidak tahu sejauh mana keakraban mereka, masing-masing lebih senang mendiamkan diri apabila ditanya mengenai status hubungan mereka.

“Kami tak pernah nafi cuma tak tahu nak mengesahkan hubungan itu kerana masih mencari keserasian. Sekarang kami dah temuinya dan kami tak kisah untuk memberitahu kepada khalayak bahawa kami sedang berkawan,” jelas Irma tanpa berselindung.

Menurut pelakon yang mempunyai senyuman manis itu, mereka semakin rapat semenjak Irma mengambil anak angkat pada awal Januari lalu apabila keduanya sama-sama menguruskan proses pengambilannya.

“Sebenarnya saya tak rancang pun nak ambil anak angkat tapi ada orang yang mahu memberi anaknya sebab tidak mampu menjaganya.

“Tanpa pengalaman, saya menjaga bayi yang saya namakan Nur Hanie itu selepas enam hari dilahirkan. Nabil juga tak ada pengalaman tapi dia ringan tulang membantu menjaga bayi itu terutama kalau saya bekerja.

“Bersusah payah dia belajar tukar lampin bayi. Seronoknya, Nabil juga memang sukakan budak. Memang dia ambil berat soal Nur Hanie yang kami panggil Anie,” kata Irma.

l Bukan kelakar macam disangka

Irma juga memberitahu dia menyenangi sikap dan peri laku Nabil kerana pelawak dan pelakon komedi itu selalu fokus dengan apa yang dilakukan.

Malah tegas Irma, dia bukan kelakar yang disangka seperti yang ditonton di dalam filem mahupun program televisyen kendaliannya.

“Kami bermula sebagai kawan dan membina hubungan. Berkawan dengannya, saya dapati dia seorang yang seronok untuk bersama. Ada ketika dia berlawak, dia berlawak, ada yang memerlukan dia serius, dia fokus dengan isu yang diperkatakan.

“Memang saya senang dengan kehadirannya,” kata Irma, 27 yang tua setahun daripada Nabil.

Kerana bagi Irma sendiri, dalam mencari pasangan, dia tidak mementingkan ciri-ciri khusus lelaki idaman sebaliknya mementingkan keselesaan dan keserasian dan dia merasai perasaan itu ketika bersama Nabil.

Sudahpun bertemu keluarga masing-masing, Irma mengakui Nabil suka Irma menemaninya pulang ke kampungnya di Seremban. Selain bertemu keluarga, Nabil kerap pulang ke kampung menguruskan perusahaan ternak dan bekam lintah yang diusahakan oleh ibu bapanya.

“Dia suka balik hari. Itu sebab dia suka saya ikut agar dia ada teman. Saya pun sukakan keluarganya kerana mereka sangat peramah, mudah mesra dan pemurah,” kata Irma yang turut membawa Nabil menemui keluarganya ketika meraikan sambutan hari lahirnya pada Januari lalu.

l Cinta orang seni

Pernah bercinta dan putus cinta dengan aktor Farid Kamil, tidak serikkah memilih orang yang mempunyai kaitan dalam bidang seni lagi?

“Dah lama tak bercinta selepas putus dan apabila bertemu dengan orang yang kita suka, hati terbuka untuk bercinta kembali.

“Bagi saya, artis atau bukan artis bukan persoalan. Namun kerana pernah merasai pengalaman bercinta dengan rakan sealiran membuatkan saya lebih berhati-hati.

“Memang saya akui, saya juga jadi lebih sensitif terhadap sesetengah situasi. Tetapi adakalanya kerana terlalu berhati-hati, kita jadi terlalu emosi. Dan mungkin saya perlu belajar untuk mengawal diri,” ujarnya.

Dan dia menegaskan, biarpun hubungannya masih terlalu hijau malah belum pun mempunyai perancangan ke alam perkahwinan namun hubungan mereka bukan satu perkara yang ‘main-main’.

“Tentunya sebagai seorang yang sedang menjalani kehidupan bercinta, kita sedang berbahagia dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk hubungan ini. Walaupun hubungan ini masih baru, tapi ia bukan satu hubungan yang main-main. Ini zaman untuk fokus masa depan,” jelasnya

0 comments:

Artikel Terkini Setiap Hari

Masukkan Emel Anda Di Sini:

Delivered by FeedBurner

BloggerSunti

Semua artikel di dalam blog ini bukanlah hasil tulisan penulis tetapi merupakan petikan daripada beberapa sumber seperti akhbar, majalah, internet dan sebagainya. Untuk mendapatkan artikel terkini, anda bolehlah mengisi kotak emel dan anda juga dialu-alukan memberi komen atau pandangan berdasarkan artikel yang disiarkan. Terima kasih.

  © Free Blogger Templates Wild Birds by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP